KENYATAAN MEDIA
MAJLIS PRESIDEN PAKATAN HARAPAN
24 Februari 2021
Menjunjung Titah Tuanku, Perdana Menteri Perlu Nasihatkan Sidang
Parlimen Dipanggil Seawal Mac Ini
Majlis Presiden Pakatan Harapan menjunjung kasih ke atas DYMM
Yang di-Pertuan Agong di atas pandangan yang dizahirkan hari ini bahawasanya
Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh
yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat YAB Perdana
Menteri. Ini selaras dengan apa yang termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b)
Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Ini juga merupakan pendirian Pakatan Harapan serta majoriti
Ahli-Ahli Parlimen, bahawa pada ketika pihak Eksekutif dan Kehakiman boleh
berfungsi sewaktu darurat berkuatkuasa, Parlimen juga perlu terus memainkan
peranan dalam memastikan urustadbir kerajaan terjaga dan proses semak imbang
diteruskan.
Oleh itu, kami akan mendukung penuh hasrat Seri Paduka Baginda
untuk memulihkan kedudukan Parlimen dalam memainkan peranan penting dalam
Perlembagaan Malaysia, mengetengahkan isu-isu serta masalah yang dihadapi
rakyat dalam usaha membendung pandemik COVID-19, serta merencana
langkah-langkah bagi menghidupkan semula ekonomi negara.
YAB Perdana Menteri perlu menjunjung titah dan segera menasihati
Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen seawal bulan Mac
sepertimana diperkenan Tuanku di dalam Takwim Parlimen sebelum ini.
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)
YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)