MOHD SAYUTI OMAR
KESIHATAN demokrasi di negara ini seperti kebah sedikit setelah
mengalami demam panas sejak proklamasi darurat 12 Januari lalu. Titah
penjelasan oleh Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayutuddin
Bilah Shah semalam dilihat usaha untuk mengebahkan demam demokrasi
yang dibimbangi ramai sebelum ini.
Sebelum ini demokrasi
Malaysia dan parlimen diterjemahkan sebagai sudah mati di negara ini apabila
proklamasi diisytiharkan. Proklamasi itu dibuat tanpa hujah yang kemas dan
melampau logikal menyebabkan ianya dilihat sebagai helah Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin saja yang mahu menyelamatkan dirinya daripada dijatuhkan dalam
parlimen.
Umum tahu kedudukan
Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Tidak Cukup Nombor, (PMTCN)
bagaikan telur hi hujung tanduk apabila beberapa ahli Parlimen Umno, seorang
demi seorang menyatakan menarik sokongan. Hakikatnya majoriti mudah yang
dipunyai Muhyiddin membolehkan beliau tubuh kerajaan sudah "nuzyuz".
Apabila parlimen
digantung beralaskan darurat berbagai tafsir buruk terhadap demokrasi negara
ini dilemparkan. Presiden Umno Zahid Hamidi menyifatkan demokrasi sudah
dikafankan. Tanggapan paling popular disebalik tindakan itu bukan untuk cegah
Covid tetapi untuk selamatkan kedudukan Muhyiddin.
Bagaimana pun semua
sinikal itu terhenti semalam apabila Yang di-Pertuan Agong menerusi Datuk
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Yang
diPertuan Agong menitah parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.
Ketetapan dan kuasa itu menurutnya termaktub dalam sub perenggan
14(1)(b) Ordinan Darurat (KuasaKuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa
Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh
sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda Yang diPertuan
Agong atas nasihat perdana menteri.
Serentak dengan
penjelasan dan penegasan itu timbul berbagai reaksi dalam mengalu-alukan
langkah itu. Ada yang menggesa perdana menteri Muhyiddin Yassin menasihat Agong
agar memanggil segera sidang Parlimen mengikut takwim parlimen.
Pihak pembangkang telah
menggesa Muhyiddin segera menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memanggil
segera sidang.
Gesaan itu dibuat oleh
pembangkang beberapa jam sahaja setelah kenyataan itu keluar, dibuat menerusi
satu kenyataan media yang ditandatangani bersama oleh Presiden PKR Anwar
Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah
Mohamad Sabu.
Sambil mengalu-alukan
penjelasan itu Majlis Presiden PH juga menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan
Agong atas pandangan yang dizahirkan itu bahawa Parlimen boleh bersidang semasa
tempoh darurat berkuatkuasa pada tarikh yang difikirkan sesuai oleh Agong.
Bagaimana pun gesaan PH itu dilihat sedikit kontras dengan
pandangan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (foto) yang
menurutnya Agong tidak perlu dengar nasihat perdana menteri untuk panggil
sidang parlimen kerana Agong ada kuasa mutlak yang digaris bawahkan dalam
Perlembagaan.
Katanya, sebenarnya
memang kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan untuk memanggil
parlimen bersidang tanpa mendapat nasihat daripada perdana menteri apatah lagi
di dalam keadaan darurat diisytiharkan.
Pandangan Tengku
Razaleigh itu menunjukkan Agong mempunyai kuasa mutlak ke atas Parlimen tanpa
perlu dirujuk kepada nasihat perdana menteri. Memahami apa yang diungkap
oleh bekas Menteri Kewangan itu ia terletak kepada Agong untuk bila-bila
masa memanggil sidang Parlimen.
Selain itu di pihak Umno
juga turut mengalu-alukan langkah itu dengan menganjungi Yang diPertuan Agong
sebagai ketua negara yang memayungi rakyat dengan meletakkan sistem demokrasi
berparlimen pada tahap amat tinggi.
Hal itu disuarakan oleh
Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan.
"Pendirian agar
Parlimen kembali bersidang sesegera mungkin adalah selari dengan hasrat
memelihara peranan "legislative oversight" atau semak dan imbang yang
dimainkan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara" katanya.
Yang belum bersuara
berhubung titah Agong itu hanya daripada parti Pam. Mungkin mereka tidak sedar
atau reti hendak memberi apa-apa komen kerana sudah ralik dalam "benak
beras" kekuasaan. BAN.. sungguh.
Dengan titah penjelasan
Agong itu, kini tidak timbul lagi persoalan apakah Parlimen boleh bersidang
atau tidak. Muhyiddin sebagai perdana menteri tidak lagi boleh berlindung dan
berdolak dalih atas apa jua alasan untuk tidak memanggil Parlimen bersidang
untuk selamatkan dirinya. Titah Yang diPertuan Agong itu adalah respon kepada
berbagai pihak yang musykil apabila Parlimen tidak dipanggil bersidang. Titah
itu untuk mengebahkan demokrasi bukan tambah suhu demam.
Dari segi moralnya, penjelasan Agong itu telah menempelak Muhyiddin
dan seluruh anggota kabinetnya kalau mereka mahu menjadikan Parlimen sebagai
penyelamat kuasa dan kedudukan masing-masing. Hakikatnya Parlimen bukan lagi
benteng atau kubuh ampuh untuk Muhyiddin. Muhyiddin patut malu.
Apapun sekiranya Parlimen
berfungsi seperti biasa yang untungnya rakyat dan Parlimen itu sendiri
berfungsi menjadi dewan tertinggi membincangkan permasalahan rakyat. Apa yang
penting ialah sistem demokrasi negara pulih dan tidak ditohmah dengan persepsi
negatif yang boleh memalukan negara. Menyihatkan demokrasi itu lebih diutamakan
daripada menyihat dan menyelamatkan kedudukan mana-mana oknum atau
individu.
|
Muhyiddin tidak akan berani panggil |
Sebaik-baiknya apabila Parlimen (kalau) dibuka semula, semua
pihak perlu memanfaatkan sebaik mungkin untuk rakyat bukan untuk terus
memancing peluang untuk terus berantakan, berebut kuasa dan sebagainya.
Ada tiga subjek atau
mauduk yang perlu difokus oleh parlimen apabila ia bersidang nanti. Muhyiddin
perlu membentangkan dasar Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 yang masih belum ada
dasar. Dasar itu nanti bolehlah dilihat sebagai manifesto atau pun agenda
kerajaan PN.
Perkara kedua ialah
memberi keutamaan kepada pemulihan ekonomi kerana ancaman pandemik ini. Semua
pihak perlu sedar keutamaan memulih ekonomi dipasca Covid lebih penting
daripada melihat dan berusaha untuk melihat mana-mana pihak untuk memimpin
kerajaan. Satu hakikatnya, pihak mana jadi kerajaan sekalipun ia akan
berhadapan dengan masalah pemulihan ekonomi. Kerajaan selepas Covid adalah
kerajaan yang memikul biawak hidup yang dianugerahkan oleh dunia.
Dan subjek ketiga
tentulah mengenai Covid yang masih belum ada tanda-tanda pengurangan dari segi
kes-kes yang dilaporkan. Perbincangan juga nanti perlu dibuat untuk melihat
apakah program vaksinasi yang sudah bermula berjalan lancar, diterima rakyat
samarata dan yang pentingnya keberkesanannya. Pelan harus difikirkan menghadapi
kemungkinan Covid terus menggila.
Bagaimana pun di sebalik
titah penjelasan Yang di-Pertuan Agong semalam, dan kegembiraan kerana
demokrasi sudah kebah, saya berpandangan ia tidak semudah itu Parlimen akan
dibuka dan dipanggil bersidang. Kalau pun Agong ada kuasa untuk memanggil
sidang Parlimen, baginda tidak akan bertindak semudah itu. Hendak tidak hendak
suka atau tidak baginda pasti akan merujuk kepada memanda perdana menterinya
sesuai dengan martabatnya Raja berpelembagaan.
Lantaran itu tidak
terfikir oleh "beta" Muhyiddin ada keberanian untuk memanggil sidang
Parlimen dengan situasi dirinya kini. Dalam kedudukan beliau bagaikan telor di
hujung tanduk atau piring di tepi meja berlantai mar-mar, beliau tidak sanggup
untuk menasihat Agong memanggil sidang Parlimen selagi tidak ada jaminan
bertulis yang beliau tidak akan diganggu.
Bagi beliau saya kira
lebih bijaksana, menasihat Agong bukan buka Parlimen tetapi nasihat agar
membubar parlimen.
Justeru semua pihak
khasnya parti pembangkang dan kumpulan yang mahu menobatkan tokoh masing-masing
jadi perdana menteri jangan mengharap dan menunggu akan memperolehinya
menerusi parlimen sebaliknya lebih afdal bersiap sedialah menghadapi
pilihan raya yang bila-bila masa sahaja akan diumumkan.
Tarikh pilihan raya
selain dalam pengetahuan Tuhan ia ada dalam tangan Muhyiddin. Itulah kehebatan
seorang perdana menteri di Malaysia. Sementara bagi memastikan demokrasi sihat
walafiat, caranya ialah adakan pilihan raya. [wm.kl.9:12 am 25/02/2121]