Bernama
Februari 25, 2021
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada Rabu. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penggunaan dua jenis jarum suntikan yang berbeza adalah mengikut keperluan ketika prosedur suntikan, termasuk proses vaksinasi, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM menjelaskan bahawa untuk prosedur menyedut cecair dari botol, ia memerlukan jarum lebih besar berwarna biru untuk memastikan pengambilan adalah lancar.
"Perbezaan warna jarum bermakna saiz lubang berbeza. Jarum yang digunakan untuk menyedut dari botol adalah lebih besar (biru) untuk memastikan kelancaran.
"Manakala jarum bersaiz lebih kecil (merah atau jingga) adalah untuk inokulasi bagi mengurangkan rasa sakit dan lebam," menurut KKM dalam kenyataan hari ini.
Di samping itu, KKM juga menekankan bahawa jarum yang berbeza diperlukan untuk mencegah pencemaran silang antara pesakit.
"Yang penting, vaksin yang diambil dari botol dan diberikan kepada pesakit tidak berubah," menurut kenyataan itu.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Penggunaan dua jenis jarum berbeza yang ditukar daripada biru ke jingga ketika pemberian vaksin COVID-19 kepada Perdana Menteri menjadi perbahasan di media sosial hingga ada pihak mengatakan beliau tidak disuntik vaksin sebaliknya cecair lain. - BERNAMA