APA YANG SEBENARNYA BERADA DALAM KEPADA MUHYIDDIN,COVID 19 ATAU KEMARUK KUASA?

 

Semua parti utama di Sabah, kecuali Bersatu, sudah pun mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK Batu Sapi yang akan diadakan pada 5 Disember depan.

PH, BN, PBS, STAR dan SAPP membuat keputusan demikian sebagai sumbangan mereka untuk sama-sama mengekang penularan wabak Covid19.

Dengan yang demikian, sebagaimana kerusi Batu Sapi dimenangi Warisan dalam PRU14 lalu, parti itu hampir pasti diberi kemenangan secara percuma.

Tetapi, Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri yang setiap kali muncul dalam perutusan khasnya meminta rakyat mengambil berat dan bersama kerajaan mengekang Covid19, nampaknya “tidak cakap serupa bikin” dalam hal ini.

Ia berikutan dalam kenyataannya semalam, beliau telah mengarahkan supaya beberapa aspek perundangan dikaji bagi membolehkan PRK Batu Sapi ditangguhkan terlebih dahulu sehingga pandemik Covid19 berakhir.

Menurut Perdana Menteri, beliau telah meminta Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR dan Jabatan Peguam Negara untuk berbuat demikian.

“PRK ini dilihat agak sukar untuk dilaksanakan di ketika pandemik Covid19 masih memuncak di negeri Sabah,” ujarnya lagi.

Nak ditangguhkan buat apa lagi?

Apa dan di mana susahnya PRK tersebut kalau semua parti tidak meletakkan calon mereka dan Warisan diberi laluan untuk menang percuma?

PRK Batu Sapi hanya akan bermasalah dari segi kemungkinan menularnya Covid19 jika ada pertandingan yang melibatkan parti-parti utama yang kemudiannya akan sibuk dengan pelbagai aktiviti kempen.

Lebih bermasalah lagi, sementara semua parti lain sudah memutuskan untuk tidak meletakkan calon di Batu Sapi, hanya Bersatu yang diketuai oleh Muhyiddin belum lagi berbuat demikian.

Kalau sekadar calon Bebas yang bertanding, tentu saja risiko merebaknya Covid19 begitu minimum kerana tarikannya untuk membuatkan orangramai berhimpun amat terhad sekali.

Maka dalam hal ini, susahkah untuk Muhyiddin membuat keputusan agar Bersatu yang dipimpinnya turut sama tidak bertanding dan memberi kemenangan percuma kepada Warisan?

Bukankah Muhyiddin juga selalu mengatakan beliau tidak berpolitik ketika Covid19?

Atau Bersatu sebenarnya yang gila kuasa dan tetap mahu meletakkan calon di Batu Sapi bagi menambah majoritinya di Parlimen, lalu tidak sedia untuk memberi kemenangan percuma kepada Warisan dan seterusnya tidak peduli pun dengan ancaman Covid19?

Kalau peduli dengan bahaya Covid19, umum saja Bersatu tidak bertanding…habis cerita!!

Sekali lagi, susahkah mahu berbuat demikian?

Dalam kepala Perdana Menteri ini apa yang sebetulnya selalu ada dalam fikirannya – Covid19 atau kemaruk kuasa? (Shahbudindotcom 05/11/2020)