FIKIRAN JADI KACAU UNTUK HAYATI BELANJAWAN ( HAYATI KISAH LAMA)

 

A Kadir Jasin

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.

LGE bentang Belanjawan: lakukan yang baik, cegah yang buruk

DALAM pembentangan Belanjawan 2019 pada 2 November, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengajak kita melakukan kebaikan dan menolak keburukan.

[Komen "Anonymous” tidak akan disiarkan. Tolong guna nama sebenar atau samaran.]

Menteri berketurunan Cina yang bukan beragama Islam itu menyebut ungkapan itu dalam bahasa asalnya - “amar ma’aruf nahi mungkar” (الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر).

Semua agama dan tamadun tinggi di dunia menyeru kepada kebaikan dan mencegah keburukan.

Tetapi biasalah bagi ahli sebuah parti yang telah mengabaikan agama, tamadun dan kesopanan kerana “cash is king” mempersendakan Belanjawan 2019 sebagai tidak ada apa-apa yang baru.

Bagi ketua-ketua Umno/BN tidak ada apa yang baru dalam Belanjawan 2019 kerana mereka tidak mendapat habuan dan peluang untuk terus mengisi tembolok mereka dan anak, bini serta suku sakat mereka.

Bukan itu saja. Fikiran mereka pun tidak berada dalam keadaan tenang untuk menghayati sesuatu yang baik dan terpuji.

Fikiran mereka kacau kerana bekas ketua nombor satu mereka, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak sedang menghadapi berpuluh-puluh tuduhan jenayah di mahkamah.

Tambahan pula isteri beliau yang begitu berkuasa dan ditakuti, (Datin Paduka Seri Puti Reno) Rosmah Mansor turut menjadi OKT (orang kena tuduh).

Kalau Najib dan Rosmah pun berkemungkinan menjadi banduan apalah sangat mereka.

Ada antara mereka yang telah pun dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menunggu masa untuk bertemu hakim.

Tidak syak lagi banyak antara mereka akan mengikuti jejak Najib, Rosmah, bekas Pengerusi Tabung Haji, (Datuk Seri Panglima) Abdul Azeez Abdul Rahim dan “penari demam malam Sabtu” (Saturday Night Fever), (Tan Sri) Irwan Serigar Abdullah, ke mahkamah.

Hatta makhluk suci bernama Jho Low yang dikatakan bersih 1MDB oleh SPRM, Peguam Negara dan PDRM zaman Najib itu pun sudah didakwa dengan jenayah 1MDB di Amerika Syarikat.

Turut didakwa dan sudah mengaku bersalah di Amerika adalah bekas eksekutif kanan Goldman Sachs, Tim Leissner. Dia ini digambarkan sebagai sangat akrab dengan Najib dan Rosmah. Seorang lagi eksekutif Goldman Sachs, Roger Ng, ditahan di Malaysia.

Dengan perkembangan terbaru itu, konco-konco Najib dan Rosmah yang lain pun tidak selamat lagi. Misalnya SPRM telah mengeluarkan notis orang dikehendaki terhadap warganegara British dan pemastautin tetap Malaysia bernama Paul Stadlen.

Paul Stadlan: Perunding komunikasi Najib

Dia ini adalah seorang perunding media Najib yang digambarkan sebagai sangat berpengaruh dan digeruni oleh pengarang media arus perdana tempatan zaman Najib. Seorang lagi adalah ahli perniagaan bernama Habibul Rahman.

Kalau Stadlen pun dikehendaki maka lojiklah konco-konco dan tali barut Najib yang lain akan dipanggil “berbual” oleh SPRM dan agensi-agensi penguat kuasa lain.

Tali Barut

Setelah sekian lama menjadi tali barut Najib dan memakan duit haram daripada pelbagai sumber, khususnya 1MDB dan SRC International Sdn Bhd, mereka tentulah menjangka yang pada bila-bila masa saja serkap akan menyerkup mereka.

Dalam suasana minda yang kacau dan penuh ketakutan itu mereka tentulah tidak dapat menghayati dan mengakui bahawa belanjawan sulung kerajaan Pakatan Harapan tersebut adalah untuk menyelamatkan negara dan rakyat jelata daripada bom jangka yang ditinggalkan oleh pemerintahan kleptokrasi Najib.

Banyak duit negara yang dicuri. Hutang kerajaan melambung melepasi RM1 trilion. Jumlah sebenar adalah RM1,065,000,000,000 atau RM33,281.25 bagi setiap penduduk Malaysia. Kerja Najib adalah gali lubang timbus lubang kerana baginya duit adalah raja.

Belanjawan sulung kerajaan PH ini bolehlah ibaratkan sebagai merawat orang sakit.

Mula-mula sekali pesakit tidak mengaku dia sakit. Sehingga beberapa bulan lalu, dia bukan saja tidak mengaku dia sakit malah dia bagi tahu satu dunia yang dia cukup sihat.

Leissner (kiri sekali) dengan isterinya, Kimora Lee, bersama Najib

Tetapi banyak orang tahu dia bukan saja tidak sihat malah mengalami banyak penyakit kronik, penyakit aneh dan sakit jiwa.

Apabila pesakit pengsan, dikejarkan ke hospital dengan ambulans dan diperiksa barulah diketahui bahawa dia sudah pun dalam kategori tenat yang memerlukan penjagaan sepanjang masa di unit rawatan rapi oleh doktor-doktor pakar.

Apa tidaknya. Kencing manis ada. Sakit jantung ada. Darah tinggi ada. Kolesterol tinggi. Paru-paru rosak sebab banyak merokok. Badan obes kerana makan tak pantang dan langsung tak peduli senaman.

Sekarang kerajaan PH sudah tahu penyakit kronik yang dideritai negara dan mulai dengan Belanjawan 2019 melakukan rawatan rapi.

Kaki yang sudah kelemayuh (gangrene) sama ada dibersihkan atau dipotong. Pesakit akan cacat seumur hidup tetapi nyawanya selamat.

Jantung dibedah dan saluran yang tersumbat diganti dengan urat dari kaki. Kalau tidak teruk sangat, digali saja untuk buang lemak yang menyumbat saluran darah.

Kesimpulannya kita tidaklah boleh mengharapkan ketua-ketua Umno/BN yang sedang menderita tekanan jiwa berfikir dengan waras dan wajar. Yang mereka nampak bukanlah kebajikan rakyat jelata tetapi pintu penjara.

Wallahuaklam.

 

No comments: