Belanjawan 2021: Ada apa untuk belia?


Oleh Farid Maulud

(Ketua DAPSY Bahagian Bukit Bendera)

Sidang Parlimen Sesi Perbentangan Belanjawan 2021 merupakan sesi yang sangat penting kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendengar inisiatif kerajaan dalam menangani kesusahan rakyat semasa musim Covid19 ini. Sudah semestinya suntikan belanjawan bantuan kewangan merupakan intipati yang ditunggu oleh semua rakyat Malaysia.

Antara yang penting untuk difokuskan ialah apa suntikan kepada belia? Belia merupakan individu yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19. Ramai antara kami telah kehilangan pekerjaan. Ramai telah terputus talian kewangan namun masih perlu menanggung perbelanjaan-perbelanjaan bulanan. Ada yang telah memulakan perniagaan sendiri. Namun dengan kuasa beli yang sedang jatuh dengan drastik, apakah nasib mereka?

Oleh itu, kami mendesak pihak kerajaan untuk mendengar keluhan kami sebagai golongan belia di negara ini. Kami memohon agar pihak kerajaan melanjutkan moratorium selama 6 bulan lagi. Moratorium ini sangat penting bagi membantu golongan belia menstabilkan kewangan untuk bangkit semula ketika fasa covid-19 ini. Bayaran pinjaman kereta, rumah dan lain lain perkara perlu ditangguhkan seketika sementara keadaan ekonomi kembali stabil.

Bantuan secara bulanan kepada golongan belia juga harus dikaji. Bantuan BPN bulanan khusus kepada golongan belia harus diberikan untuk membantu menampung perbelanjaan bulanan.

Aspek peluang pekerjaan juga perlu diusahakan oleh pihak kerajaan dalam sesi belanjawan 2021 ini. Kerajaan perlu mencari alternatif untuk industri terus memberikan peluang pekerjaan kepada belia. Pihak kerajaan juga boleh mencipta peluang pekerjaan secara kontrak dalam badan-badan kerajaan yang boleh diisi oleh golongan graduan.

Sebagai rakyat Malaysia, kami juga mendesak pihak kerajaan mengurangkan kadar perbelanjaan barisan Menteri dan Timbalan Menteri. Kami mendesak supaya gaji para menteri dipotong dan elaun-elaun tambahan dihentikan terlebih dahulu sehingga kita semua keluar dari masalah ekonomi ini.



No comments: