HARI PERTAMA MUHYIDDIN BERTUGAS, IMEJ KERAJAAN PINTU BELAKANG SUDAH TERCEMAR



Hari ini merupakan hari pertama Muhyiddin Yassin masuk pejabat di Bangunan Perdana Putra sebagai Perdana Menteri.
Muhyiddin disambut Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali ketika tiba di Perdana Putra sebelum dibawa ke aras 5 yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri.
Sebelum memasuki pejabat, Muhyiddin mengimbas kad perakam waktu dan mengaminkan bacaan doa untuknya.
Tetapi, hari pertama kemasukannya ke pejabat hari ini telah tercemar dengan persepsi buruk apabila Presiden UMNO, Zahid Hamidi berjaya memohon penangguhan kesnya dengan alasan beliau ada perbincangan dengan Muhyiddin berhubung pembentukan kabinet.
Walaupun Zahid Hamidi kemudian menjelaskan, penangguhan kesnya hanya untuk hari ini saja dan beliau tidak berunding dengan kerajaan untuk menggugurkan kesnya, sebaliknya mahu terus membersihkan namanya di mahkamah, tetapi siapakah mahu mempercayainya?
Kenapa perbincangan untuk menyusun mesti dilakukan di siang hari?
Tidak bolehkah Zahid Hamidi meminta kelonggaran kepada Muhyiddin, oleh kerana beliau ada kes mahkamah, minta ditangguhkan ke sebelah petang atau malam?
(Dalam perkembangan terbaru, JPM baru saja mengeluarkan kenyataan bahawa tiada sebarang pertemuan politik dilakukan oleh Muhyiddin pada hari ini)
Persoalan di sini, Zahid Hamidi bertemu siapa untuk membincangkan pembentukan kabinet?
Apakah permohonan penangguhannya hanya untuk menunjukkan beliau sedang berada di persada kuasa bersama kerajaan yang baru ditubuhkan?
Dengan kedudukannya sebagai Presiden UMNO yang memainkan peranan besar menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan apabila beliau berunding dengan Muhyiddin selepas ini berhubung pembentukan kabinet, apakah mungkin Zahid Hamidi tidak memasukkan namanya sendiri sebagai salah seorang untuk dilantik sebagai menteri?
Dalam konteks lain, mampukah Muhyuddin menolak nama Zahid Hamidi kerana jika namanya tidak diterima, kerajaan baru ini juga boleh tumbang dengan sendirinya kiranya UMNO bertindak menarik balik sokongannya?
Mahu tidak mahu, kemungkinan Zahid Hamidi disenaraikan dalam barisan kabinet adalah tinggi sekali, tentunya dengan hujah seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah.
Malah, kemungkinan Muhyiddin bersetuju menjadikannya salah seorang menterinya, kalau pun tidak TPM, adalah juga tinggi.
Dalam keadaan itu, jika belum dilantik sebagai menteri pun, persepsi umum telah tercemar berikutan penangguhan kesnya, maka sudah tentu segala-galanya akan berubah setelah dilantik sebagai menteri nanti.
Ada juga berpendapat, sebaik saja Perikatan Nasional menjadi kerajaan baru menggantikan PH ini, bukan saja hakim mungkin berubah nada, malah saksi-saksi pendakwa yang memberi keterangan pun boleh jadi sudah berbeza isi keterangannya.
Pokoknya, siapakah yang benar-benar berani berbeza pendirian dengan kerajaan yang sedang memerintah negara?
Dengan itu, kalau pun kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan pimpinan UMNO yang sedang dalam perbicaraan di mahkamah tidak digugurkan, perbicaraannya selepas ini mungkin tidak lagi menepati kehendak keadilan.
Dalam kes Zahid Hamidi misalnya, walaupun beliau mengatakan mahu membersihkan namanya di mahkamah, beliau juga menyebut pendakwaan terhadapnya adalah palsu, bermotif politik dan bersifat terpilih.
Mampukah Muhyiddin yang keberadaannya sebagai Perdana Menteri adalah atas sokongan UMNO dan Zahid Hamidi, benar-benar tidak campurtangan dan benar-benar menyerahkan kepada mahkamah menegakkan keadilan?
Mungkin peredaran masa akan menghakimi perjalanan kerajaan ini seterusnya, tetapi yang nyata di hari pertama Muhyiddin memulakan tugasnya hari ini ia sudah pun tercemar dengan persepsi buruk terhadap kerajaan pintu belakang yang dipimpinnya melalui penangguhan kes Zahid Hamidi itu. (ShahbudinHusin 02/03/2020)