Siapa rancang timbulkan isu Anwar mahu jadi TPM?
Komplot menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan semakin jelas dilakukan oleh orang dalam apabila Tun Mahathir mendedahkan beliau dan partinya diadu-domba dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Hal tersebut dikatakan berlaku menjelang pertemuan pemimpin kanan PH dalam Majlis Presiden pada 21 Feb lalu.
Tun Mahathir dalam penjelasan dalam majlis tertutup di Putrajaya semalam berkata, beliau diberikan maklumat kononnya Anwar akan membuat tuntutan agar dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
“Sebenarnya pada hari kita (PH) nak mengadakan mesyuarat Majlis Presiden PH, saya dapat maklumat dari setiausaha politik saya, kononnya dalam mesyuarat ini Anwar akan buat tuntutan untuk saya lantik dia sebagai timbalan perdana menteri.
“Jadi kita semua marahlah, tetapi dia (Anwar) tak buat tuntutan itu sebaliknya semua sokong saya,” katanya.
Mahathir berkata demikian dalam pertemuan bersama beberapa barisan ahli serta pemimpin akar umbi PH di Yayasan Kepimpinan Perdana.
Ia dibuat beberapa jam selepas Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan Malaysia.
Bagaimanapun, pemberita tidak dibenarkan masuk dalam pertemuan tersebut namun perbincangan itu disiarkan secara langsung dalam akaun Facebook Amanah.
Untuk rekod selepas mesyuarat tersebut berakhir, Mahathir dan Anwar menghadiri sidang media dan menjelaskan bahawa mereka bersetuju agar tiada mana-mana pihak mendesak agar ditetapkan tarikh penyerahan kuasa.
Malah Mahathir sekali lagi mengulangi komitmennya untuk berbuat demikian selepas berakhirnya sidang kemuncak pertubuhan Kerjasama Asia Pasifik (Apec) pada Nov tahu ini.
Anwar juga beberapa kali sudah menafikan beliau ingin menyandang jawatan timbalan perdana menteri.
Pendedahan Mahathir itu menimbulkan tandatanya dan kemungkinan wujud pihak tertentu yang sengaja mahu mencipta suasana tegang di antara beliau dengan Anwar.
Sementara itu, Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Bersatu mendakwa Muhyiddin adalah antara punca bermulanya krisis kepemimpian negara.
“Jadi dia (Muhyiddin) hendak cari punca krisis,” katanya.
Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Mahathir menunjukkan pertentangan terbuka dengan Muhyiddin walaupun kedua-dua mereka sebelum ini berpakat untuk menjatuhkan Najib Razak.
Baca ‘Dr M letak jawatan sebab pemimpin lebih dengar cakap SU politik’
Pagi tadi Mahathir berkata, beliau berasa Muhyiddin lebih banyak mengkhianatinya sehingga membawa kepada jatuhnya PH dan Umno kembali menjadi kerajaan melalui kem bekas menteri dalam negeri itu.
Petang tadi Mahathir mengajak anggota bersatu untuk membuat pendirian menolak kumplan yang dilabelnya sebagai mengkhianati Bersatu.
“Kita kena tentukan pendirian kita. Orang ini khianati parti kita, patut kita singkir,” katanya.