AYAT-AYAT GADUH TUN MAHATHIR….


Perbalahan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Sultan Johor nampaknya akan berterusan lagi.
Kali ini ia kelihatannya melibatkan sebidang tanah milik Sultan Johor di Bukit Cagar yang terlibat dalam rancangan pembinaan Sistem Transit Rapid atau RTS dari Johor Bahru ke Singapura.
Belum pun reda isu campurtangan Statut Rome dan perlantikan Menteri Besar serta dua Exco Johor baru-baru ini, kini meletus pula soal berkaitan tanah di Bukit Cagar ini.
Tanah berkenaan merupakan salah satu dari lima lot tanah di Bukit Chagar yang diterima Putrajaya dari kerajaan Johor pada 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tanah untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Bahru (CIQ).
Bagaimanapun satu daripada lot tanah itu telah menjadi milik Sultan Johor yang dikatakan pemindahannya dilakukan sebelum PRU 2018 lalu.
Jika kerajaan ingin mendapatkan semula tanah seluas 4.5 hektar tersebut, bermakna Putrajaya perlu membayar RM495 juta untuknya.
Menurut laporan, tidak diketahui bagaimana tanah itu dipindahkan dan siapa yang bertanggungjawab mengenainya, sama ada Perdana Menteri atau Menteri Besar Johor ketika itu.
Jawapan Tun Mahathir berkenaan tanah tersebut yang diperlukan untuk pembinaan RTS bagaimanapun nampaknya akan mencetuskan perbalahan yang berterusan dengan Istana Johor.
Kata Tun Mahathir, kerajaan akan membeli balik tanah tersebut daripada Sultan Johor kiranya baginda telah membuat pembayaran untuk memilikinya sebelum ini.
“Tetapi jika ia belum dibayar, kerajaan tidak perlu membelinya kerana ia adalah milik kerajaan.
“Hanya sekiranya baginda sudah membayar, barulah kami perlu membelinya balik,” tegas Perdana Menteri.
Alamak….bisanya ayat-ayat Tun Mahathir kali ini?
Ini ayat gaduh atau ayat yang bertujuan untuk berunding dengan baik?
Adakah ini bermakna kerajaan akan mengambil balik tanah tersebut secara percuma begitu saja?
Wajar atau tidak Tun Mahathir mengeluarkan ayat sedemikian, sedang dari segi pemilikan tanah itu sudah menjadi milik Sultan Johor?
Apa agaknya reaksi Sultan Johor selepas ini? (Shahbudindotcom 03/05/2019)

No comments: