Tinggal 3 hari, Streram perlu kejar populariti Tok Mat
Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau akan selesai pada hari Jumaat 12 April 2019 jam 11.59 malam. Ketika ini menurut laporan Sinar Harian kedudukan calon BN Mohamad Hasan dan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Streram hanya dibezakan sebanyak 2%.
Mohamad atau Tok Mat mendahulu dengan 52% dan diikuti 48% oleh Streram.
Menurut Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran yang turut membantu kempen PH, Streram kini berada dalam posisi yang membolehkan beliau membuat kejutan, asalkan pengundi Rantau berfikiran terbuka dan sanggup menerima calon tanpa mendahulukan faktor kaum.
“Yang penting para pengundi jangan memandang faktor kaum calon dari PH.
“Saya harap penduduk di Rantau dalam era Malaysia Baru akan bergerak ke hadapan dengan memberi penekanan kepada apakah manfaat yang akan diberi untuk DUN Rantau jika Dr Streram mencapai kemenangan.
“Rakyat Malaysia jangan lagi terperangkap dengan ideologi perkauman dan yang menjejaskan pembangunan, sementara negara-negara jiran mengorak langkah ke hadapan,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Sementara itu, pemerhati ekonomi Jameson Tan berpendapat kemenangan PH di Rantau amat penting sebagai isyarat Kerajaan Persekutuan tidak akan bertukar dalam pilihan raya umum akan datang dan politik perkauman akan kendur selepas 13 April depan.
“Para pengundi masyarakat Melayu di Rantau mungkin akan memberi kemenangan kepada Umno-BN sebab mereka simpati terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang kes mahkamahnya banyak kali ditunda
“Ini adalah bahaya untuk PH kerana sentimen simpati terhadap Najib mampu mengugat peluang Dr. Streram.
“Ahli-ahli dan penyokong-penyokong PH yang sedang berkempen di Rantau harus memberitahu semua orang terutamanya penduduk di kawasan kampung bahawa Najib akan diberi peluang yang adil di mahkamah dan sentimen simpati tidak wajar menjadi faktor pada hari mengundi. Yang patut menjadi faktor penentu ialah kewibaan calon dan parti yang bertanding,” ujar Jameson.