Parlimen Mahasiswa masih dibayangi Auku


Parlimen Mahasiswa masih dibayangi Auku
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria mendakwa Parlimen Mahasiswa di negara ini masih dibayangi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), berbeza dengan Parlimen Mahasiswa yang diwujudkan di United Kingdom.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, Parlimen Mahasiswa yang merupakan inisiatif KPT tidak memberikan kebebasan yang sepenuhnya kepada mahasiswa untuk berperanan sebagai suara ketiga.

"Di UK seperti mana yang kita ketahui, Parlimen Mahasiswa ditubuhkan,mereka mempunyai akta khusus menyebabkan mahasiswa yang memberikan pandangan dalam forum tersebut mempunyai kebebasan untuk menyatakan pandangan-pandangan mereka.

"Di Malaysia kita masih lagi mempunyai sekatan-sekatan seperti Auku yang menghalang kebebasan mahasiswa daripada menyuarakan pandangan.

"Sejauh mana inisiatif yang dibuat oleh menteri boleh memberikan mahasiswa suara yang ketiga dalam pembangunan negara kita?" soal beliau.

Di Malaysia, hanya Universiti Sains Malaysia (USM) yang melaksanakan model Parlimen Mahasiswa manakala di IPT-IPT lain diwujudkan sudut pidato.

Nasir dalam soalan asalnya meminta Menteri Pengajian Tinggi (KPT) menyatakan adakah kerajaan berhasrat untuk menubuhkan Parlimen Mahasiswa (Student Parliament/Youth Parliament) seperti mana yang dilaksanakan di UK sebagai bukti keterbukaan kerajaan mengiktiraf suara mahasiswa sebagai suara ketiga dalam menjadi rakan pembangunan negara dan juga menggalakkan mahasiswa terlibat secara progresif dan positif dalam politik negara.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung dalam jawapannya memberitahu bahawa KPT sememangnya menyokong dan menggalakkan pelaksanaan program-program pembangunan sahsiah pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk melalui pembentukan Parlimen Mahasiswa.

"Sesuai dengan kuasa autonomi yang ada pada IPT, Naib-Naib Canselor telah diberi kuasa dalam menguruskan hal-hal berkaitan perkara ini di IPT masing-masing," kata beliau.

Menurutnya, setakat ini USM telah melaksanakan model Parlimen Mahasiswanya yang tersendiri secara rasmi pada 23 Oktober lalu dengan dikenali sebagai Dewan Perundingan Pelajar (DPP).

Beliau bagaimanapun tidak menjawab persoalan sebenar mengenai kekangan mahasiswa di bawah Auku.

Sementara itu, Datuk Bung Mokhtar Raden (BN-Kinabatangan) pula mahu kerajaan mewujudkan secara keseluruhan Parlimen Mahasiswa.

"Persoalannya sekarang dengan keyakinan jitu daripada kementerian,apa halangannya untuk pihak kerajaan mewujudkan secara total Parlimen Mahasiswa kerana mahasiswa ini adalah aset negara.

"Daripada awal kita latih mereka, didik mereka bagaimana menjadi wakil rakyat, bagaimana nak bincang isu-isu yang relevan," katanya.