|
Lagipun elok juga berlatih menulis dalam Bahasa Malaysia agar tidak kekok apabila pulang ke tanah akhir nanti.
Saya baru-baru ini telah menerima sepotong undangan melalui kiriman e-mel ke Perasmian 'Friends of Pakatan Rakyat'. Bulat-bulat saya sudah tolak pelawaan itu.
Bukanlah apa, sekadar mengingatkan diri agar tidak menyebelahi mana-mana parti politik dalam waktu ini.
Teringat juga ketika dahulunya saya dijemput bermain pertandingan bola sepak dan berkali-kali saya memberitahu pihak UMNO London supaya tidak mempolitikkan sukan. Dalam masa yang sama, semua rakyat Malaysia di kota si hidung tinggi berkaki panjang ini akan lebih berminat untuk bermain tanpa dicop 'orang UMNO'.
Saya ada bertanyakan saudari Nurul Izzah secara sinis adakah Parti Keadilan Rakyat kini sudah begitu kaya sampaikan program ini perlu dianjurkan di dunia asing ini?
Beliau begitu cepat membalas secara 'defensive', bak kata orang putih, dengan menyatakan 'tiada siapa yang paksa saya hadir ke majlis itu'. Sabar-sabar lah kakak oi! Baru dicuit sedikit, terus mahu melatah?
Saya ini bukan siapa-siapa pun. Cuma seorang rakyat Malaysia yang risau jika gelombang baru ini kini mahu mengikuti perangai gelombang lama pula.
Lagipun kami di sini tidak mengundi pun. Malah, kami tidak membayar cukai kepada kerajaan Malaysia pun. Yang bekerja di sini, tidak boleh mengundi pun.
Jadi, saya cuma nak tahu. Adakah berbaloi kehadiran para Yang Berhormat di sini untuk rakyat di Malaysia? Bukannya saya nak halang pun. Cuma takut-takut perangai suka jalan-jalan makan angin 'oversea' ini menyelinap masuk pula dalam badan 'suci dan murni, nyah korupsi' tuan-tuan dan puan-puan pula.
Dahulu bukan main mengutuk gelombang lama suka makan angin pakai duit rakyat, membeli-belah Dolce Gabbana, Gucci atau Prada. Kumpulan berbadan tegap berkaca mata hitam kiri dan kanan pun mendapat saguhati masing-masing seperti topi GAP. Walaupun murah di waktu 'Summer Sale' ini, janji GAP, bukan GAGAP buatan Indonesia. Tetapi selalu sangat gelombang baru ini hadir di sini. Apakah tujuan sebenarnya?
Macam saya cakap, bukannya tak bagi... Tapi cerita-lah supaya rakyat yang mahu keadilan dan perubahan ini tahu yang gelombang baru ini bukannya dua kali lima. Apabila ditanya, yang mampu dijawab ialah "apa jawapan sekalipun nampaknya tak memadai untuk saudara. Tentunya banyak lagi yg dirancang".
Mengapa begitu 'defensive'? Apa yang mahu disorokkan? Saya ini bukanlah seorang ahli SB, PERKASA atau Umno.
Walaupun nama ayah saya Abu Hassan, tetapi beliau bukanlah bekas Menteri Besar Selangor. Jika rakyat tanya soalan yang susah-susah sedikit, cepat pula melatah dan ada menganggap kami ini 'khadam' atau penyokong Umno pula. Habis tu, takkan nak setuju sahaja dengan gelombang baru ini seperti sang memerang dungu?
Sambil menyelam, minumlah air. Ya, macam seekor memerang.
Jikalau hadir semata-mata kerana 'Friends of Pakatan Rakyat' yang bakal dirasmikan di kota yang gah, hebat, penuh riang-ria London, maka apakah faedah kepada rakyat di Malaysia yang membayar zakat, cukai dan mengundi? Apakah 'Greater Kuala Lumpur' tidak cukup hebat seperti 'Greater London' yang sebenarnya 'dodgy'?
Setakat detik ketika ini, YB Nurul Izzah masih gagal menjawab soalan ikhlas saya di Twitter.