Keputusan sama ada kes Anwar diteruskan, 17 Februari
Ia akan menjadi penentu sama ada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang ditangguhkan Rabu lalu, diteruskan pada Khamis depan atau beliau akan dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
Keputusan itu akan diumumkan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Wira Abu Samah Nordin yang bersidang bersama Hakim Datuk Sulaiman Daud dan Hakim Datuk Azhar Ma'ah.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merayu terhadap keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah pada 1 Disember tahun lalu yang menolak permohonannya agar tuduhan liwat itu dibatalkan.
Ketua Pembangkang itu mengemukakan permohonan itu dengan alasan tuduhan tersebut berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah selain satu konspirasi politik serta muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.
Peguam Karpal Singh yang mewakilinya berhujah agar tuduhan itu diketepikan kerana ia satu penindasan terhadap anak guamnya selain merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.
Menurutnya, tuduhan itu tidak berasas kerana laporan perubatan oleh tiga doktor yang memeriksa Mohd. Saiful Bukhari menyatakan tiada penemuan klinikal yang kukuh menunjukkan berlaku kemasukan zakar dalam duburnya.
Ujar Karpal, ketiadaan elemen yang amat penting itu mencacatkan tuduhan liwat di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan sedangkan ia menjadi asas kepada intipati pertuduhan.
Ujar beliau, tiada gunanya pendakwaan diteruskan dengan memanggil saksi-saksi memberi keterangan memandangkan perkara asas iaitu kemasukan zakar pada pertuduhan tidak dibuktikan.
Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah menetapkan pendiriannya dengan membenarkan rayuan tersebut meskipun perbicaraan telah dimulakan.
Menurut beliau, persoalan yang dibangkitkan sewaktu di Mahkamah Tinggi sama ada pendakwaan berlaku jujur atau bertindak mengikut arahan pihak atasan, tidak harus diberi perhatian pada ketika ini.