MAHASISWA KINI SUDAH BANGKIT DARI LENA

Jangan perlekeh siswa : “Kami sokong Saifuddin Abdullah” - Bantah


Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (Bantah) menyokong kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Saifuddin Abdullah berhubung seruannya agar semua pihak tidak lagi memperlekeh idea-idea mahasiswa hari ini.

Pengerusi Bantah Mohd Aizat Mohd Saleh berkata, pihaknya memandang positif terhadap seruan tersebut sekali gus mendesak agar KPT mendengar segala luahan yang dilontarkan mahasiswa mutakhir ini.

"Kami menyeru kematangan Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin agar meneliti memorandum mahasiswa Jumaat lalu di Putrajaya, bukannya memberi kenyataan bahawa mahasiswa hari ini tidak matang," kata beliau.

Mohd Aizat berkata, menteri sendiri yang kurang matang ketika mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Kami cabar Khaled agar segera menjawab segala tuntutan mahasiswa kalau benar-benar mahu tunjukkan sikap matang kepada kami. Mahasiswa sudah mengguna semua tindakan profesional termasuk berbincang dengan menteri dan pentadbiran universiti, tetapi semua ini dibakul-sampahkan," katanya.

Tambah beliau, mahasiswa akan bertindak lebih agresif selepas ini jika kementerian masih lagi tidak mendengar tuntutan mahasiswa.

"Kami juga menggesa supaya tidak mempersalahkan mahasiswa dengan tindakan-tindakan selepas ini yang lebih agresif setelah jalan selamat yang diambil tidak didengari.