Perbicaraan kes Anwar kekal di Mahkamah Sesyen KL


07/11/2008 4:02pm


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Hakim S. M. Komathy Suppiah hari ini menetapkan sebutan kes liwat yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Sesyen pada 14 November ini.
Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati sijil perakuan yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi adalah tidak sah di bawah Seksyen 418A Kanun Tatacara Jenayah.


Komathy berkata, Abdul Gani tidak sepatutnya mencampuri kes liwat berkenaan setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi `berjanji’ bahawa peguam negara itu tidak akan terlibat dalam kes Anwar.


Komathy akan mendengar sebutan kes itu bagi menetapkan tarikh perbicaraan di mahkamah tersebut.


Bagaimanapun, Timbalan Kanan Pendakwaraya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden memberitahu para pemberita bahawa pihaknya pasti membuat dua permohonan iaitu bagi rayuan dan semakan kehakiman berhubung keputusan hari ini.