KENYATAAN MEDIA











PROGRAM BIMBINGAN USAHAWAN RAKYAT PULAU PINANG




Salam Sejahtera,

Kerajaan Pulau Pinang melalui Majlis Pembangunan Usahawan melancarkan Program Bimbingan Usahawan Rakyat. Matlamat utama program ini adalah untuk membina,melatih dan menghasilkan usahawan berjaya yang mengamalkan teknik dan sistem perniagaan bertaraf antarabangsa dengan mengapplikasikan cara pengurusan perniagaan yang bersistematik, yang akhirnya dapat mempertingkatkan taraf ekonomi rakyat secara keseluruhannya.


Program ini diilhamkan oleh YB Mohammad Fairus Khairuddin, Timbalan Ketua Menteri 1, Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Program yang julung kalinya dianjurkan, diolahkan, untuk memastikan rakyat negeri yang telah dan bakal terlibat dengan dunia perniagaan, didedahkan dengan strategi-strategi perniagaan yang diamalkan oleh syarikat-syarikat antarabangsa.
Dengan kerjasama syarikat tempatan Fadzil Hashim Corporation Sdn Bhd yang merupakan Jurulatih Perniagaan Antarabngsa, modul-modul teknikal cara mengendalikan perniagaan dari ActionCOACH (http://www.actioncoach.com/) dapat didedahkan kepada usahawan-usahawan dan bakal usahawan Pulau Pinang.

ActionCOACH yang beribu pejabat di Amerika Syarikat, diasaskan di Australia, telah pun berada di Malaysia hampir 9 tahun. Dengan jumlah tahun pengalaman yang luas, ratusan perniagaan di Malaysia telah mendapatkan khidmat nasihat perniagaan dari ActionCOACH. Kerajaan negeri yakin bahawa usahawan-usahawan di negeri Pulau Pinang ini akan dapat mempertingkatkan tahap pencapaian perniagaan masing-masing melalui program ini.

Modul-modul yang bakal diperkenalkan, boleh diadaptasikan dalam pelbagai saiz dan skala perniagaan. Ianya telah diuji dan terbukti dalam perniagaan jalanan hinggalah ke perniagaan bersaiz besar.

Program ini akan dilaksanakan melalui Seminar Percuma Bimbingan Usahawan Rakyat Pulau Pinang setiap 90 hari dan akan disusuli dengan sessi bimbingan secara berkumpulan. Ini bagi memastikan bahawa para usahawan tidak hanya diajar mengenai teknik dan strategi tetapi juga mendapat sessi bimbingan dari jurulatih perniagaan Antarabangsa bagi mempertingkatkan peratusan kejayaan usahawan-usahawan di Pulau Pinang. Secara langsung, kemajuan perniagaan ini akan mempertingkatkan daya saing usahawan-usahawan dan kemajuan ekonomi di Pulau Pinang.

Program ini terbuka kepada semua rakyat Pulau Pinang yang mempunyai perniagaan atau yang ingin memulakan perniagaan.

Seminar Percuma Program Bimbingan Usahawan Rakyat Pulau Pinang yang pertama akan diadakan pada 29hb November 2008 di Dewan Millenium, Kepala Batas. Sejumlah 1,000 peserta dijangka akan hadir dan menjayakan program anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Untuk pendaftaran, sila hubungi sekretariat pendaftaran di talian 012-328 3749 atau mendaftar di laman web http://www.usahawanrakyat.com/.