
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diraikan rakyat Melaka pada Majlis Pesta Melaka Rumah Kita bagi kempen Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-16 di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah pada 12 November 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
ALOR GAJAH, 12 Nov – Masalah sebenar melanda negara kini bukan berpunca daripada kerjasama politik dengan DAP, sebaliknya kegagalan memilih pemimpin Melayu yang mempunyai prinsip dan integriti, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menegaskan fenomena berkenaan, Perdana Menteri berkata, kepimpinan negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan sentimen kaum semata-mata, sebaliknya mengambil kira akhlak, kejujuran dan keupayaan seseorang menggalas amanah rakyat.

“Masalah kita ini bukan masalah Cina dan orang Melayu. Masalahnya nak pastikan pimpinan Melayu yang ada prinsip.
“Takkanlah tak ada. Di Melaka ini ramai, anak-anak muda ramai. Pilih yang baik, pilih yang bersih, pilih yang ada nilai. Jangan bila ada kuasa sedikit, kira nak sakau saja,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi PH membidas tindakan sesetengah pihak menyokong pemimpin yang tidak mempunyai prinsip ketika hilang kuasa tetapi menggadaikan prinsip apabila merasa mereka akan kembali berkuasa.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pesta Melaka, Rumah Kita di Taman Melaka Perdana, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Wanita KEADILAN, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, kerjasama antara kaum penting bagi memastikan kestabilan negara, namun tidak bermakna prinsip perjuangan atau kepentingan masyarakat Melayu perlu diketepikan.

Menurutnya, rakyat perlu menilai pemimpin berdasarkan rekod dan kewibawaan, bukan terpengaruh dengan sentimen perkauman yang dimainkan dalam persaingan politik.
“Jadi kita pilih pimpinan Melayu yang bagaimana? Pasal dia Melayu? atau pasal dia itu akhlaknya baik, prinsipnya ada, tak curi, tak sakau, tak sombong?” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya memberikan ruang kepada pemimpin muda yang bersih dan berkeupayaan untuk menerajui masa depan negeri.
PH menurunkan 24 calon daripada 28 kerusi pada PRN Melaka ke-16 dengan menyasarkan untuk menambah kerusi bagi mencerahkan peluang membentuk kerajaan negeri selepas 14 November ini.

No comments:
Post a Comment