Anwar tokoh Islam ke-13 paling berpengaruh dunia, diiktiraf ketua negara paling lantang perjuangkan isu Palestin

 




Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disenaraikan sebagai tokoh Islam paling berpengaruh ke-13 dunia menerusi edisi 2027 “The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims”, diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre (RISSC) yang berpangkalan di Jordan.

Nama Anwar tersenarai dalam kelompok 50 tokoh Muslim paling berpengaruh dunia yang diberikan kedudukan mengikut ranking berdasarkan pengaruh masing-masing terhadap masyarakat Islam dan dunia.

Penerbitan edisi tahunan ke-18 itu menyebut bahawa Anwar mula memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022, menerajui Kerajaan Perpaduan di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH).

Senarai berkenaan turut menampilkan beberapa pemimpin dunia Islam lain termasuk Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul-Aziz Al-Saud dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, yang berada di kedudukan pertama.

Pada peringkat serantau, penerbitan itu menonjolkan peranan Anwar sebagai orang tengah dalam isu keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara, khususnya menerusi inisiatif diplomatik dalam meredakan ketegangan dan membina kepercayaan antara Thailand dengan Kemboja susulan pertempuran di sempadan pada Julai 2025.

“Selaku Perdana Menteri Malaysia dan Pengerusi ASEAN, beliau menjadi tuan rumah bagi rundingan antara pemimpin kedua-dua negara di Putrajaya yang membantu mencapai persetujuan gencatan senjata. 

“Anwar membantu membina kepercayaan antara Bangkok dengan Phnom Penh, sekali gus memperkukuh imej Malaysia sebagai perantara keamanan konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan tersebut memetik Bernama.

Selain itu, The Muslim 500 mengiktiraf Anwar sebagai antara ketua negara paling lantang di dunia dalam memperjuangkan isu Palestin, dengan mengekalkan sokongan teguh negara terhadap perlindungan orang awam dan akses kepada bantuan kemanusiaan di Gaza

Dengan mengambil pendirian tegas di pentas antarabangsa, Anwar mengumumkan kepada Parlimen Malaysia bahawa negara sedang menerajui gabungan teras antarabangsa yang merangka resolusi rasmi untuk mengusir Israel daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

“Anwar mengulangi pendirian bahawa Malaysia sama sekali tidak mengiktiraf Israel adalah kekal,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan menyatakan pertemuan Anwar dengan pegawai Hamas, termasuk pemimpinnya dan Allahyarham Ismail Haniyeh, mencetuskan bantahan terbuka daripada negara Barat, namun ditolak secara jelas oleh Perdana Menteri sambil menegaskan hak mutlak Malaysia sebagai negara berdaulat untuk menentukan dasar luarnya sendiri.

Selain kepimpinan politik, pengiktirafan itu turut merakamkan penglibatan awal Anwar dalam aktivisme sebagai Pengasas dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1971, selain pengalaman beliau menerajui beberapa portfolio Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1990-an.

Laporan itu juga mengetengahkan sumbangan besar beliau dalam bidang akademik, dengan memegang jawatan sebagai ahli akademik pelawat di St Antony’s College, Oxford, Johns Hopkins University, dan Georgetown University.

“Beliau ialah pengasas bersama International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 1981. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pro-Canselor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari 1983 hingga 1988 serta menerima pelbagai ijazah kehormat antarabangsa,” menurut laporan itu.

Pemimpin Asia Tenggara lain yang turut tersenarai dalam kelompok 50 teratas termasuklah Presiden Indonesia Prabowo Subianto pada kedudukan ke-16, Pengerusi Nahdlatul Ulama Yahya Cholil Staquf (ke-21) dan ulama Indonesia Habib Luthfi bin Yahya (ke-31).





No comments: