Macam-macam cerita kita dengar tentang Anwar Ibrahim. Ada yang kata PMX zalim, ada yang tuduh munafik, ada pula yang menggambarkan seolah-olah Kelantan dianaktirikan hanya kerana rakyat negeri itu memilih PAS.
Kalau dengar ceramah politik PAS, boleh jadi orang ingat Putrajaya langsung tak mahu pandang Kelantan.
Sekali Menteri Besar Kelantan sendiri buka mulut, lain pula ceritanya. Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengakui hampir semua permohonan pembangunan dan infrastruktur yang dikemukakan kerajaan negeri mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Haa, sudah! Macam mana pula cerita ni?
Yang bercakap tu bukan Rafizi Ramli. Bukan Anthony Loke. Bukan jurucakap PKR. Ini Menteri Besar daripada PAS sendiri.
Siap mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Kalau orang PH yang cakap, mungkin ada yang cepat-cepat tuduh propaganda. Tapi kali ni nak tuduh siapa?
Bukan projek kecil-kecil pula yang disebut. Ada pembangunan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, persetujuan sambungan ECRL ke Rantau Panjang dan pengumuman Empangan Lebir.
Semua ini melibatkan infrastruktur penting yang boleh membawa manfaat besar kepada rakyat Kelantan apabila dilaksanakan sepenuhnya.
Jadi timbul satu soalan yang menarik. Kalau hampir semua permohonan pembangunan diluluskan, atas asas apa masih ada dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan sengaja meminggirkan Kelantan?
Kalau ada projek yang ditolak, sebutlah projek mana. Kalau ada peruntukan yang tidak disalurkan, tunjukkan angkanya. Biar rakyat boleh menilai berdasarkan fakta, bukan sekadar kuatnya suara di pentas ceramah.
Memanglah PAS dan PH tak sehaluan dalam banyak perkara. Itu politik. PAS boleh kritik Anwar, Anwar pun boleh jawab balik. Tak ada masalah.
Tetapi jangan sampai pertelingkahan politik menyebabkan segala bentuk kerjasama pembangunan langsung tidak diiktiraf. Yang baik tetap baik, yang belum selesai tetap perlu ditegur.
Paling menarik, nampaknya apabila masuk bab urusan kerajaan, kedua-dua pihak masih boleh duduk semeja dan berbincang. Kerajaan negeri memohon, Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan dan meluluskan hampir semua permohonan seperti yang diakui MB sendiri.
Baguslah begitu. Takkan rakyat Kelantan pula kena tunggu PAS dan PH berbaik dahulu baru boleh menikmati pembangunan?
Cuma jangan salah faham. Kelulusan projek bukan bermaksud semuanya sudah siap. Masalah air Kelantan masih perlu diselesaikan, banjir masih perlu ditangani dan peluang pekerjaan masih perlu diperluaskan.
Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan masing-masing ada tanggungjawab. Rakyat berhak menuntut hasil, bukan sekadar mendengar pengumuman.
Sebab itu, selepas pengakuan MB Kelantan ini, mungkin elok juga pemimpin yang sering menggunakan istilah seperti "zalim" menjelaskan perkara yang dimaksudkan.
Adakah kritikan itu berkaitan peruntukan pembangunan, perbezaan dasar atau isu politik lain? Jangan campur semua perkara dalam satu bakul sehingga rakyat mendapat gambaran seolah-olah tiada langsung kerjasama antara Putrajaya dengan Kota Darulnaim.
Akhirnya, politik biarlah berpada-pada. Kalau kerajaan buat salah, kritiklah. Kalau kerajaan bantu, akuilah. Jangan sampai di pentas ceramah kedengaran macam Kelantan langsung tak mendapat perhatian, sedangkan Menteri Besar sendiri mengakui hampir semua permohonan pembangunan mendapat kelulusan.
Rakyat bukan tak boleh berfikir. Kadang-kadang kenyataan daripada pemimpin sendiri sudah cukup untuk membuat orang ramai bertanya semula tentang cerita yang selama ini mereka dengar.

No comments:
Post a Comment