“Mungkin meninggal dunia, mungkin uzur, mungkin kalah…”









Entah kenapa, apabila Anwar Ibrahim mengucapkan kata-kata ini, terasa sebak di dada. Seorang lelaki yang hampir 80 tahun usianya, setelah puluhan tahun berjuang, dipenjara, dihina dan akhirnya menjadi Perdana Menteri, kini berbicara tentang masa yang mungkin tidak panjang lagi.


Bukan lagi soal berapa lama mahu berkuasa. Tetapi berapa banyak kebaikan yang masih sempat dilakukan sebelum semuanya berakhir.


Anwar cuma mahu menggunakan kesempatan yang Allah SWT berikan untuk membuktikan bahawa pemerintahan orang Islam mampu menjadi teladan dalam keadilan, kebijaksanaan dan mengangkat martabat rakyat.


Di sebelah sana, Zahid Hamidi dan Hamzah Zainudin juga antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Masing-masing ada pengalaman, penyokong dan cita-cita. Tetapi siapa pun yang akhirnya memimpin, satu perkara tidak akan berubah. Masa mereka juga akan habis.


Bayangkan suatu hari nanti, Anwar sudah tidak lagi berada di Putrajaya. Tiada lagi suaranya yang kita dengar hampir setiap hari. Tiada lagi wajahnya di kaca televisyen. Yang tinggal cuma gambar lama dan rakaman ucapan seorang lelaki yang pernah menghabiskan sebahagian besar hidupnya memperjuangkan sesuatu yang diyakininya.


Mungkin ketika itu, orang yang hari ini paling kuat mengkritiknya pun akan terdiam seketika apabila terdengar kembali suaranya berkata, “Mungkin meninggal dunia, mungkin uzur, mungkin kalah…”


Dan mungkin ketika itu juga kita akan sedar, betapa banyak masa yang dihabiskan untuk membenci sesama sendiri, sedangkan usia manusia terlalu singkat untuk semua itu.


Anwar tidak akan selama-lamanya menjadi Perdana Menteri. Zahid dan Hamzah juga tidak akan selama-lamanya berada di pentas politik. Tetapi anak cucu kita akan terus hidup di bumi Malaysia yang sama, mewarisi segala keputusan yang dibuat hari ini.


Semoga sebelum tiba waktunya meninggalkan jawatan, Anwar sempat melihat lebih banyak rakyat keluar daripada kesusahan, lebih ramai anak muda membina masa depan dan negara tercinta ini menjadi lebih baik daripada ketika beliau mula memimpinnya.


Kerana yang paling menyedihkan bukanlah apabila seorang pemimpin akhirnya pergi.


Tetapi apabila dia pergi membawa bersama cita-cita yang belum sempat menjadi kenyataan.


Ya Allah, selagi masih ada waktu, berilah dia kekuatan untuk menunaikan amanahnya. Dan apabila tiba masa untuk dia berundur, biarlah yang tertinggal bukan sekadar namanya dalam sejarah, tetapi kebaikan yang terus hidup dalam hati rakyat.


#AhmadMursi





No comments: