
Detik-detik akhir sebuah jet terhempas di Greenacres, Florida pada 1 November 2026. Foto Martinez/Getty Images North America/AFP
FLORIDA, 2 Nov – Sembilan individu maut selepas sebuah jet peribadi terhempas di kawasan perumahan di Florida, Amerika Syarikat (AS), pada Ahad, menurut Setiausaha Pengangkutan AS.
Kejadian berlaku berhampiran kawasan kejiranan Cresthaven, kira-kira 14 kilometer dari Mar-a-Lago, resort milik Presiden Donald Trump di Palm Beach County, sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan.
Imej dari lokasi kejadian menunjukkan lubang besar menyerupai kawah di jalan perumahan, selain tompokan api serta serpihan konkrit dan bangkai pesawat jenis Learjet 60 bertaburan.

Menurut kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat itu berlepas dari Austin, Texas dan dalam perjalanan ke Bahamas.
Laporan media AS serta analisis penerbangan menunjukkan pesawat berkenaan menjunam pada kelajuan ratusan kaki sesaat sebelum terhempas.
Rakaman yang belum disahkan dan dimuat naik ke media sosial dipercayai menunjukkan detik pesawat itu terhempas.
Rakaman kamera papan pemuka kenderaan itu memperlihatkan beberapa kenderaan sedang melalui jalan di kawasan perumahan sebelum pesawat berkenaan menjunam hampir menegak ke tanah lalu meletup dalam bola api besar.
“Apabila melihat video itu, ia sesuatu yang amat mengejutkan. Ia seperti peluru berpandu yang menjunam ke bawah, diikuti letupan besar dan serpihan berterbangan ke merata-rata tempat,” kata Gabenor Florida, Ron DeSantis, pada sidang media selepas kejadian.
Identiti mereka yang berada di dalam pesawat ketika nahas berlaku masih belum diketahui.
DeSantis berkata, setakat ini pihak berkuasa tidak menerima laporan mengenai kematian atau kecederaan membabitkan individu yang berada di darat.
Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi mengerikan dan memaklumkan FAA menghantar pasukan ke lokasi bagi membantu siasatan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
“Marilah kita bersama-sama mendoakan keluarga dan insan tersayang mereka yang terkorban,” katanya.
Pasukan Penyelamat Kebakaran Palm Beach County mengisytiharkan kejadian itu sebagai insiden melibatkan ramai mangsa.
Pejabat Syerif Palm Beach County memaklumkan nahas berlaku di Military Trail, jalan raya enam lorong yang mempunyai deretan premis perniagaan dan restoran.
Pada sidang media sama, DeSantis bersama pegawai tempatan berkata, kira-kira 600 penduduk dari sebuah komuniti taman perumahan berhampiran dipindahkan.
Mereka berkata, impak nahas turut menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur setempat termasuk saluran paip air, manakala jalan berkenaan dijangka hanya dibuka semula selepas sekurang-kurangnya 30 hari. – Agensi



No comments:
Post a Comment