Ceramah mega bukan pilihan Ginie Lim, calon PKR Machap Jaya pilih masuk kampung jumpa pengundi

 


Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak semestinya perlu bergantung kepada ceramah besar atau himpunan mega apabila pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka turut menjadi pilihan calon.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin, berkata beliau memilih untuk menemui seramai mungkin pengundi, termasuk penduduk di kawasan kampung dan lokasi yang jauh dari pusat bandar.

Menurutnya, pendekatan itu lebih sesuai dengan keadaan di Machap Jaya berbanding hanya bergantung kepada ceramah atau perhimpunan besar.

“Ramai yang merasakan kempen politik itu hanya sekadar ceramah dan himpunan-himpunan mega.

“Itu mungkin formula yang berkesan di bandar, tetapi tidak di Machap Jaya. Di sini saya memilih untuk berjumpa seramai mungkin pengundi walau di ceruk kampung mana sekalipun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ginie turut berkongsi pengalaman bertemu penduduk yang pernah dikenalinya ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya lima tahun lalu.

Malah, katanya, ada penduduk yang masih memanggilnya dengan gelaran “YB” ketika bertemu dalam kempen kali ini.

“Siap panggil saya YB lagi, terima kasih saya ucapkan tapi sekarang saya cuma Yang Berkhidmat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa gelaran dan kedudukan bukan perkara utama baginya, sebaliknya khidmat kepada masyarakat perlu diteruskan.

“Jika 14 November berpihak kepada saya sekalipun, saya tetap Yang Berkhidmat Ginie Lim,” katanya.

Bagaimanapun, laluan Ginie di Machap Jaya bukan mudah apabila beliau berdepan saingan tiga penjuru dalam PRN Melaka kali ini.

Beliau dicabar penyandang kerusi berkenaan, Datuk Ngwe Hee Sem daripada Barisan Nasional (BN), serta Prasanth Kumar Brakasam yang mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Machap Jaya menyaksikan pertembungan dua bekas penyandang apabila Ginie pernah memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, manakala Ngwe pula merampasnya pada PRN Melaka 2021 dengan majoriti 938 undi.

PRN Melaka akan berlangsung pada 14 November 2026, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 November.

Dalam tempoh kempen yang berlangsung, Ginie memaklumkan beliau meneruskan pendekatan turun padang dengan menemui penduduk di Felda Hutan Percha.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan pertemuan dengan pengundi di kawasan berkenaan sepanjang tempoh kempen.





No comments: