Pakatan Harapan (PH) tampil dengan calon Melayu, Cina dan India yang disifatkan berwibawa, bersih serta beramanah bagi membawa suara rakyat dan memajukan Melaka.
Sentimen perkauman sempit tidak seharusnya menjadi penentu pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya keupayaan calon, integriti dan rekod khidmat kepada masyarakat perlu diberikan keutamaan.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PH memilih pendekatan merangkul kekuatan masyarakat Melayu, Cina dan India dengan menampilkan calon yang berwibawa, bersih serta beramanah.
Menurutnya, pasukan PH menawarkan kepimpinan yang mengutamakan kerja keras, integriti dan pencapaian untuk membela rakyat serta memajukan negeri.
Justeru, beliau merayu pengundi Melaka supaya memberikan kepercayaan kepada pasukan PH dalam pilihan raya negeri kali ini.
“Justeru dengan penuh rasa insaf dan rendah hati, saya memohon agar rakyat Melaka memberikan kepercayaan kepada pasukan PH yang menawarkan kerja keras, kepimpinan berintegriti serta pencapaian yang telah terbukti untuk membela rakyat dan memajukan negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut berharap rakyat dapat membuat pilihan dengan pertimbangan yang matang serta tidak membiarkan sentimen perkauman mengatasi kepentingan masa depan negeri.
Beliau mengakhiri rayuannya dengan doa agar Allah SWT menerangi hati pengundi dalam membuat keputusan serta memberikan kekuatan kepada PH untuk terus berbakti.
Kenyataan itu hadir ketika kempen PRN Melaka semakin rancak menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
Mesej yang dibawa Anwar jelas meletakkan kepelbagaian kaum sebagai kekuatan pasukan PH, dengan penekanan terhadap integriti, kemampuan bekerja dan komitmen membela rakyat sebagai asas untuk mendapatkan mandat pengundi.

No comments:
Post a Comment