Kesediaan Pas menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mencetuskan persoalan lebih besar mengenai hubungan kedua-dua parti itu jika kerjasama mereka berkembang selepas pilihan raya.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, partinya terbuka menggunakan sama ada logo sendiri atau lambang BN, bergantung kepada hasil rundingan kerjasama yang sedang berlangsung.
Namun, bagi wartawan veteran Zin Mahmud, persoalan yang lebih menarik bukan sekadar lambang mana akan digunakan, sebaliknya sejauh mana Pas sanggup berada di bawah kepimpinan BN dalam tempoh yang panjang.
Dalam tulisannya, Zin mengimbas bagaimana Perikatan Nasional (PN) pada asalnya dibentuk ketika Tan Sri Mahiaddin Yassin mengetuai kerajaan campuran melibatkan Bersatu, BN, Pas, GPS serta parti-parti dari Sabah.
Menurutnya, Mahiaddin ketika itu berharap PN dapat berkembang menjadi sebuah gabungan lebih besar, malah menyerupai BN dari segi konsep sebagai payung kepada beberapa parti.
Bagaimanapun, BN tidak menyertai PN sebagai anggota walaupun menyokong kerajaan Mahiaddin ketika itu.
Mengetuai blok
Zin berpendapat episod tersebut menunjukkan masalah yang sering timbul dalam gabungan politik apabila parti-parti besar masing-masing mempunyai cita-cita untuk mengetuai blok berkenaan.
Beliau berkata, BN akhirnya tidak mahu terus berada di bawah kepimpinan Mahiaddin, manakala Pas pula kemudian semakin tidak selesa dengan dominasi Bersatu dalam PN.
Hubungan Pas-Bersatu kini berdepan kemelut apabila Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), antaranya berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
RoS kemudian menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September sementara gabungan itu menjelaskan aduan berkenaan.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula menegaskan Bersatu tidak pernah dipecat daripada gabungan itu, selain berkata PN masih menunggu penjelasan mengenai lapan aduan yang dikemukakan Bersatu kepada RoS.
Bagi Zin yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam dunia wartawan, jika Pas sememangnya tidak lagi mahu bergerak bersama Bersatu, parti itu sebenarnya mempunyai pilihan untuk membentuk gabungan lain bersama BN dan sekutu baharu.
Namun, katanya, persoalan seterusnya ialah sama ada Pas benar-benar bersedia menerima BN sebagai parti yang mengetuai gabungan tersebut.
“Adakah Pas sedia untuk diketuakan oleh BN pada waktu yang panjang?” soal Zin dalam tulisannya.
Menurut Zin, Pas pada akhirnya juga mempunyai cita-cita untuk mengetuai gabungan kerajaan, justeru hubungan dengan BN mungkin berdepan ujian tersendiri jika kedua-duanya mahu memainkan peranan sebagai parti dominan.
“Akhirnya Pas juga mahu menjadi ketua gabungan kerajaan. Namun begitu, majoriti rakyat Malaysia tidak selesa berketuakan Pas. Sebab itu Pas tidak akan bertanding solo,” kata Zin lagi.
No comments:
Post a Comment