
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Grand Ballroom, SITC, Shah Alam pada 20 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
SHAH ALAM, 20 Sep – Selepas pendedahan dan tindakan hasil Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan skandal Tabung Haji (TH), fokus seterusnya kini beralih kepada skandal pengurusan dan kerugian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Entiti orang Melayu yang pernah dibanggakan satu ketika dahulu, kini berdepan dengan pelbagai masalah berkenaan dan Kerajaan MADANI akan mendedahkan laporan berkaitan yang dijangka diumumkan minggu depan.

Mengesahkan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu bukan bertujuan membalas dendam, sebaliknya sebahagian daripada usaha kerajaan menangani permasalahan yang berlaku di agensi berkenaan mengikut proses undang-undang.
Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk menentukan mana-mana individu disiasat, didakwa atau dihukum, kerana perkara itu perlu diputuskan secara bebas oleh institusi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Minggu depan, mula laporan awal tentang FELDA. Kata ini dendam, dendam apa? Salah guna kuasa apa?
“Apa saya boleh bercakap dengan pendakwa, beri pandangan kepada hakim? Tidak ada. Tanya Ketua Hakim. Ketua Hakim penuh kebebasan dan wibawa untuk putuskan,” kata Anwar.

Penegasan tersebut dibuat beliau ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta para penggerak reformasi 1998 yang mengimbau kembali detik-detik pemecatan, insiden mata lebam dan penangkapan Anwar pada 20 September 1998 oleh Mahathir Mohamad.

Difahamkan, kerajaan perlu menyediakan RM980 juta bagi menampung kerugian agensi berkenaan setiap tahun dan semua kecurangan yang berlaku sebelum ini mesti dipertanggungjawabkan.

Masalah rumit itu turut memberi kesan kepada aliran tunai FELDA sehingga Kerajaan MADANI terpaksa campur tangan bagi memulihkan kedudukan kewangan yang merosot sebaik Anwar mengambil alih pada November 2022.
Kerajaan MADANI pula terpaksa memfokuskan kepada kebajikan pengurusan FELDA, selepas mendapati rumah pengurus agensi itu di seluruh negara tidak diselenggara dengan baik sejak puluhan tahun, dengan meluluskan RM450 juta bagi kerja membaik pulih kemudahan tersebut di 317 tanah rancangan seluruh negara.

Untuk itu, Pelan Strategik FELDA 2025-2030 dirangka untuk dilaksanakan bagi memulihkan prestasi kewangan kumpulan melibatkan isu penyahsenaraian FGV Holdings Bhd serta kelemahan tadbir urus dalam perolehan dan pelaburan, membabitkan lapan aset yang dibangkitkan dalam Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada April 2019.

No comments:
Post a Comment