
Projek dikenali sebagai 'Elizabeth Drive Upgrade - Mamre Road Upgrade Stage 2' itu dimulakan pada 21 September 2026 dan dijadualkan siap pada 2030. Foto AZNIP
KUALA LUMPUR, 21 Sep – Gamuda Bhd meneruskan pengembangan perniagaan infrastrukturnya di Australia apabila memperoleh kontrak bernilai A$624 juta (RM1.8 bilion) bagi projek naik taraf jalan raya di New South Wales (NSW).
Kumpulan pembinaan itu berkata, kontrak dianugerahkan Transport for New South Wales (TfNSW) kepada syarikat usaha samanya, Gamuda BMD Joint Venture (GBJV).
GBJV membabitkan Gamuda Engineering Pty Ltd, anak syarikat tidak langsung milik penuh Gamuda dan B.M.D Constructions Pty Limited (BMD).
“GBJV mempunyai pegangan sama rata 50:50 dalam projek itu, sekali gus memberikan Gamuda bahagian kontrak bernilai A$312 juta atau sekitar RM908 juta.
“Projek dikenali sebagai ‘Elizabeth Drive Upgrade – Mamre Road Upgrade Stage 2’ itu dimulakan pada 21 September 2026 dan dijadualkan siap pada 2030.
“Secara keseluruhan, projek terbabit bernilai A$2 bilion dan dibiayai bersama oleh Kerajaan Australia serta Kerajaan NSW,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Di bawah kontrak reka dan bina itu, GBJV akan melaksanakan kerja reka bentuk dan pembinaan bagi menaik taraf 4.5 kilometer Elizabeth Drive dan tiga kilometer Mamre Road di Kemps Creek, Western Sydney.

Skop kerja turut merangkumi kerja awam dan struktur serta pemindahan utiliti berkaitan.
Gamuda berkata, penganugerahan projek itu mencerminkan keyakinan TfNSW terhadap keupayaan GBJV dalam melaksanakan projek infrastruktur berskala besar.
Katanya, ia juga dijangka memperkukuh lagi keupayaan Gamuda Engineering Australia dalam reka bentuk dan pembinaan projek jalan raya di Australia.
Malah, menurutnya projek itu melengkapkan portfolio projek jalan raya kumpulan di New South Wales, termasuk Coffs Harbour Bypass, M1 Pacific Motorway Extension Black Hill to Tomago dan Richmond Road M7 Upgrade.
Oleh Alzahrin Alias

No comments:
Post a Comment