21 September 2026
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Azizi Mohamad Ali malam tadi, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata, menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas, sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan yang dilucutkan jawatannya itu ialah Mohd Faizal Ramli (Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah), Mustapha Nagoor (Pembangunan Belia dan Sukan), Zaifulbahri Idris (Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan), Siow Kong Choon (Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam), Siti Nur Umaira Hasim (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Mohd Asna Amin (Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital), Mohd Razi Mohd Ali (Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup), Suhaimizan Bizar (Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)), Mohd Fairuz Mohd Isa (Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Razali Abu Samah (Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).
Menteri Besar, Ismail Lasim bagaimanapun terus dikekalkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Dengan perkembangan ini, Ismail kini terpaksa melantik barisan Exco yang baharu bagi menggantikan mereka yang telah dilucutkan jawatannya itu.
Oleh kerana BN/BN mempunyai jumlah 25 Adun yang menang PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, di atas kertas, Ismail dilihat tiada masalah untuk menggantikan barisan Exco yang dilucutkan itu dengan senarai baharu.
Ditolak 10 yang telah dilucutkan itu dan dicampur dengan Ismail yang kekal sebagai Menteri Besar, bermakna ada 14 lagi Adun BN/PN yang boleh dilantik sebagai Exco.
Perlantikan Exco baharu itu nanti semestinya perlu mendapat persetujuan parti iaitu BN dan PN sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Tetapi, masalah akan timbul jika BN dan PN menolak untuk menamakan 10 Adun yang baharu bagi dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.
Jika itu berlaku, maka Ismail tiada pilihan lain selain perlu mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan agar DUN dibubarkan bagi memberi laluan PRN diadakan sekali lagi.
Selepas mandat baharu diperolehi nanti, barangkali lebih mudah untuk dilantik Menteri Besar dan Exco yang mendapat perkenan sepenuhnya daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Barisan Adun sedia ada, khususnya daripada UMNO, mereka barangkali turut mempunyai pendirian yang sama dengan 10 Exco yang telah dilucutkan jawatan itu.
Jika mereka cuba mengambil pendirian yang berbeza, mereka mungkin bermasalah pula dengan parti.
Selagi UMNO kekal dengan pendirian yang sama dan kepimpinan UMNO/BN Negeri Sembilan juga diterajui pemimpin yang sama, menukar barisan Exco belum tentu dapat menyesaikan kemelut yang ada.
Hanya PRN memberi peluang lebih luas untuk ada jalan penyelesaian. - ShahbudinHusin 21Sept2026.
No comments:
Post a Comment