SELEPAS DIPECAT, LAUNGAN “TANGKAP PENDERHAKA” KEMBALI BERGEMA — FORMULA TOK MAT PULA JADI PERSOALAN








Drama Negeri Sembilan makin panjang.


Terbaru, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta. Menurut kenyataan Istana, keputusan itu dibuat selepas mereka didapati memungkiri sumpah jawatan yang diangkat di hadapan baginda pada 7 Ogos lalu. 


Ini bukan sekadar hilang jawatan biasa. Dalam sumpah itu, Exco berikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan Institusi Diraja, mempertahankan Perlembagaan Negeri serta mengiktiraf kuasa Dewan Keadilan dan Undang.


Beberapa hari sebelum itu, Menteri Besar Ismail Lasim mengesahkan keputusan berkaitan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz telah diputuskan secara sebulat suara oleh Exco. Tetapi Jabatan Peguam Negara kemudian menyatakan proklamasi 19 April tersebut tidak sah dan menegaskan MB serta Exco tidak mempunyai kuasa unilateral untuk mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar. 


Dewan Keadilan dan Undang pula menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan bahawa kerajaan negeri serta Exco tidak mempunyai bidang kuasa menentukan kedudukan baginda. 


Sebab itu sebelum Exco dibatalkan pelantikannya lagi, laungan “Daulat Tuanku, tangkap penderhaka” sudah kedengaran daripada sebahagian penyokong Tuanku Muhriz di KLIA dan kemudiannya di Masjid Diraja Tuanku Munawir. Bekas Menteri Besar Aminuddin Harun pula secara terbuka menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap Exco yang terlibat. 


Di sinilah kenyataan lama Tok Mat kembali menarik perhatian.


Ketika kempen PRN, Mohamad Hasan mendakwa BN mempunyai “kaedah terbaik” untuk menyelesaikan krisis takhta Negeri Sembilan. Bila ditanya kaedahnya bagaimana, jawapannya lebih kurang: bagi BN menang dulu, selepas menang nanti barulah penyelesaiannya dikemukakan. 


BN kemudian mendapat mandat. Tetapi hari ini krisis itu bukan sahaja belum reda, malah sampai ke tahap semua Exco dibatalkan pelantikan oleh Tuanku Muhriz.


Jadi persoalan yang wajar ditanya sekarang mudah saja: apa sebenarnya “formula” yang Tok Mat maksudkan dahulu, dan adakah apa yang sedang berlaku sekarang sebahagian daripada formula tersebut atau keadaan sudah bergerak jauh daripada rancangan asal?


Akmal Saleh pula turut menjadi perhatian kerana pendiriannya sendiri sebelum ini sangat jelas. Dalam PAU 2024, beliau berkata jika agama, bangsa atau Raja-Raja disentuh, Pemuda UMNO akan “bangkit berlawan dan tentang… habis-habisan”. 


Setakat perkembangan yang dapat dikesan pagi ini, belum kelihatan kenyataan khusus Akmal mengenai pembatalan pelantikan semua Exco oleh Tuanku Muhriz. Itu tidak bermaksud beliau tidak akan bersuara kemudian, tetapi memang mudah difahami kenapa kenyataan lamanya kini kembali disebut.


Krisis ini belum selesai. Exco sudah hilang jawatan, proklamasi pula telah dinyatakan tidak sah oleh AGC, manakala isu berkenaan turut berada dalam proses mahkamah. 


Selepas ini, persoalannya bukan lagi sekadar siapa akan jadi Exco baharu.


Orang ramai akan memerhati sama ada akan ada tindakan undang-undang susulan — dan ke mana sebenarnya hala tuju “formula” menyelesaikan krisis adat Negeri Sembilan yang pernah disebut sebelum pilihan raya.


#ahmadmursi




No comments: