Tok Min langgar adat? Dr Faridzwan jawab satu persatu dakwaan

 


Dakwaan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun(Tok Min), mencampuri urusan adat dan bertindak bertentangan dengan keputusan empat Undang dalam polemik melibatkan institusi diraja negeri disifatkan tidak berasas.

Sebaliknya, Yang Mulia Datuk Penghulu Dagang, Dr Faridzwan Abdul Ghafar, berkata Menteri Besar hanya melaksanakan tanggungjawab yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri dengan memastikan setiap tindakan mempunyai justifikasi dan mematuhi prosedur undang-undang.

Beliau berkata demikian dalam podcast Jangan Pajak Otak (JPO) kendalian peguam Liyana Marzuki ketika diminta mengulas dakwaan kononnya Menteri Besar sepatutnya hanya menjadi “rubber stamp” kepada keputusan empat Undang tanpa mempersoalkan proses yang dilalui.

Menurut Dr Faridzwan, Aminuddin sejak awal mengambil pendirian untuk tidak mencampuri urusan adat kerana memahami batas kuasa seorang ahli politik.

“Menteri Besar sebenarnya memang tidak campur. Orang politik tidak boleh masuk campur perkara yang mereka sendiri tidak faham.

“Tok Min tahu had beliau. Kenapa hendak masuk campur perkara yang bukan bidangnya? Sebab itu beliau langsung tidak campur urusan adat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan berubah apabila timbul keperluan supaya kerajaan negeri menguatkuasakan keputusan berhubung penurunan takhta.

Dalam situasi itu, katanya, Menteri Besar mempunyai tanggungjawab memastikan setiap tindakan dibuat berasaskan alasan yang jelas dan mengikut lunas perlembagaan.

“Apabila Menteri Besar diminta menandatangani sesuatu keputusan, sudah tentu beliau perlu tahu asas dan justifikasinya.

“Kalau beliau tandatangan tanpa prosedur yang betul, beliau juga yang perlu menjawab kepada Majlis Raja-Raja, Peguam Negara dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dr Faridzwan berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Menteri Besar sehingga kini masih belum diberikan justifikasi yang lengkap mengenai sebab tindakan menurunkan takhta dicadangkan.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan Menteri Besar mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya difahamkan sehingga hari ini Menteri Besar sendiri tidak tahu apakah justifikasi sebenar mengapa Tuanku hendak diturunkan takhta.

“Kalau beliau menurunkan tandatangan tanpa mengetahui prosedur dan asasnya, akhirnya beliau sendiri yang akan dipersoalkan,” katanya.

Menurut beliau, keputusan seperti itu bukan perkara kecil kerana implikasinya bukan sahaja kepada kerajaan negeri, malah kepada institusi diraja.

“Ini keputusan besar. Kalau kita silap, seratus tahun pun orang akan bercakap mengenainya,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa Menteri Besar tidak mempunyai sebarang peranan dalam urusan adat, Dr Faridzwan berkata tafsiran itu tidak tepat kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan turut memperuntukkan fungsi tertentu kepada Menteri Besar.

Beliau merujuk kepada Fasal 16(2) yang menurutnya memberi ruang kepada Menteri Besar memohon pandangan atau nasihat Dewan dalam perkara berkaitan.

Namun, katanya, peruntukan itu perlu dibaca bersama Fasal 14, yang memperincikan bidang kuasa institusi Undang.

“Dalam hal ini Menteri Besar boleh memberi pandangan, tetapi tidak boleh mengatasi kuasa Undang.

“Sebab itu saya kata Menteri Besar tidak masuk campur urusan adat. Beliau cuma menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh Perlembagaan Negeri,” katanya.

Dr Faridzwan turut menegaskan bahawa tindakan Menteri Besar meminta penjelasan sebelum menandatangani sesuatu keputusan tidak boleh dianggap sebagai mencabar adat atau menghalang institusi tradisi.

Sebaliknya, beliau berkata langkah itu menunjukkan kerajaan negeri mengambil pendekatan berhati-hati bagi memastikan setiap keputusan berkaitan institusi diraja dibuat mengikut undang-undang dan dapat dipertahankan dari sudut perlembagaan.

“Bagi saya, Menteri Besar hanya mahukan justifikasi yang benar-benar kukuh sebelum menurunkan tandatangan.

“Yang malangnya, justifikasi yang kukuh itu gagal diberikan kepada Menteri Besar,” katanya.

Beliau menambah, peranan Menteri Besar dalam keadaan sedemikian bukan untuk menentukan keputusan adat, tetapi memastikan proses pelaksanaannya mematuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan dan prinsip kedaulatan undang-undang.




No comments: