Budaya mengkafirkan sesama Islam atau menuduh seseorang pemimpin sedang membawa agenda kufur bukanlah fenomena baharu. Ia telah berlaku sejak zaman awal Islam. Malah para sahabat Rasulullah SAW yang mulia, termasuk Khalifah al-Rasyidin seperti Saidina Ali RA dan Saidina Muawiyah RA, juga tidak terlepas daripada tuduhan sedemikian.
Selepas Perang Siffin, apabila berlangsungnya proses tahkim (perdamaian melalui timbang tara) antara pihak Saidina Ali RA dan Saidina Muawiyah RA, muncul satu kelompok yang menentang keputusan tersebut. Mereka mendakwa kedua-dua pihak telah meninggalkan hukum Allah kerana menerima tahkim.
Mereka melaungkan slogan:
لا حكم إلا لله
“Tiada hukum melainkan hukum Allah.”
Mereka juga berhujah dengan firman Allah SWT:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“Dan sesiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Ma’idah: 44)
Namun, mereka mengambil ayat ini di luar konteksnya lalu menjadikannya alasan untuk mengkafirkan orang Islam.
Saidina Ali RA menjawab hujah mereka dengan ungkapan yang sangat masyhur:
كلمة حق أريد بها باطل
“Ia adalah kalimah yang benar, tetapi digunakan untuk tujuan yang batil.”
Sementara itu, Abdullah ibn Abbas RA yang diutus oleh Saidina Ali RA untuk berdialog dengan mereka menggambarkan keadaan mereka sebagai golongan yang kuat beribadah. Dahi mereka hitam kerana banyak bersujud, tangan mereka kasar kerana ibadah, pakaian mereka sederhana dan wajah mereka menunjukkan kesan kesungguhan beragama. Namun, kefahaman mereka terhadap agama amat sempit sehingga mereka mudah mengkafirkan sesama Islam.
Persoalannya, dari manakah lahirnya pemikiran seperti ini?
Hakikatnya, benih pemikiran tersebut telah muncul sejak zaman Rasulullah SAW lagi.
Dalam sebuah hadis sahih, ketika Rasulullah SAW sedang membahagikan harta rampasan perang Hunain, datang seorang lelaki daripada Bani Tamim yang dikenali sebagai Dzul Khuwaisirah at-Tamimi. Dengan penuh biadab dia berkata kepada Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, berlaku adillah!”
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Celakalah engkau! Siapakah lagi yang akan berlaku adil jika aku sendiri tidak berlaku adil? Sesungguhnya engkau telah rugi jika aku tidak berlaku adil.”
Mendengar kata-kata itu, Saidina Umar al-Khattab RA meminta izin untuk memenggal lehernya. Namun Rasulullah SAW melarangnya dan bersabda:
“Biarkan dia. Sesungguhnya akan muncul daripada golongannya suatu kaum. Kamu akan memandang rendah solat kamu berbanding solat mereka dan puasa kamu berbanding puasa mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar daripada agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan.”
Benarlah sabda Rasulullah SAW. Pada zaman Saidina Ali RA muncul golongan Khawarij yang mengangkat slogan agama, tetapi akhirnya mengkafirkan orang Islam, menghalalkan darah sesama Muslim dan mengangkat senjata terhadap pemerintah yang sah.
Saudara,
Peristiwa ini seolah-olah terus berulang dalam setiap zaman. Masih ada segelintir yang begitu mudah menghukum saudara seagama sebagai kafir, munafik atau membawa agenda kufur hanya kerana berbeza pandangan politik, tidak berada dalam parti yang sama atau tidak menyokong kumpulan mereka.
Mereka merasakan hanya kelompok mereka memahami agama, hanya ulama mereka berada di atas kebenaran, manakala selain daripada itu dianggap sesat atau menyimpang. Mereka tidak segan silu mengeluarkan orang Islam daripada agamanya hanya kerana berbeza parti politik atau tidak sehaluan dengan perjuangan mereka.
Lebih membimbangkan, pilihan politik ialah perkara ijtihadi, iaitu perkara yang memerlukan seseorang membuat keputusan berdasarkan kefahaman, penelitian, pemerhatian, penilaian dan kajian terhadap sesuatu keadaan. Dalam perkara ijtihadi, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang diiktiraf oleh syarak. Rasulullah SAW bersabda bahawa seorang yang berijtihad, jika benar mendapat dua pahala, manakala jika tersilap tetap mendapat satu pahala kerana kesungguhannya mencari kebenaran. Ertinya, kedua-duanya tetap mendapat ganjaran atas ijtihad mereka. Maka, bagaimana mungkin perbezaan pilihan politik dijadikan alasan untuk mengkafirkan saudara seagama? Hormatilah pilihan masing-masing walaupun kita tidak bersetuju dengannya.
Antara sifat utama Khawarij yang disebut oleh para ulama ialah mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan dosa besar. Sedangkan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah ialah seseorang Muslim tidak menjadi kafir semata-mata kerana melakukan dosa besar. Selagi dia tidak melakukan perkara yang membatalkan akidah, dia tetap seorang Muslim walaupun berdosa dan wajib bertaubat. Sebab itulah para ulama memberi amaran keras agar umat Islam tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum kafir terhadap saudara seagama.
Kini keadaan ini semakin membarah dan ekstrem. Ungkapan yang dinukilkan mereka hari ini tidak banyak bezanya dengan slogan yang pernah dilaungkan oleh Dzul Khuwaisirah pada zaman Rasulullah SAW dan Khawarij pada zaman Saidina Ali RA. Mereka menggunakan ayat al-Quran, tetapi memahaminya tanpa disiplin ilmu, lalu menjadikan agama sebagai senjata untuk menghukum orang lain.
Saudara,
Jagalah diri kita. Jangan sampai kita terjerumus ke dalam lubang ekstremisme beragama. Ia bukan sahaja merosakkan diri, bahkan memecah-belahkan umat, meruntuhkan perpaduan bangsa dan mengancam kestabilan negara. Belajarlah untuk hidup dalam suasana saling menghormati dan berlapang dada terhadap perbezaan yang dibenarkan syarak.
Parti dan pilihan politik bukanlah persoalan akidah. Sebaliknya, ia termasuk dalam perkara ijtihadi yang membuka ruang kepada perbezaan pandangan. Berbeza parti tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam. Syurga dan neraka bukan hak kita untuk menentukan. Ulama Islam juga tidak lahir daripada satu aliran politik sahaja, bahkan tersebar dalam pelbagai latar belakang dan mereka tetap dihormati kerana ilmu serta ketakwaan mereka.
Peliharalah diri dan keluarga daripada fitnah pemikiran Khawarij. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman agama yang sahih, kebijaksanaan dalam berbeza pandangan, serta hati yang tenang, adil dan berhikmah dalam menilai manusia.

No comments:
Post a Comment