TENANG SAJA....

 




Ada yang menyuarakan kebimbangan kepada Bang Mat mengenai senario politik terkini. 


Bang Mat tidak menafikan bahawa jika BN dan PN bergabung, landskap politik boleh berubah. Itu satu hakikat yang perlu kita terima dengan tenang. Kita tidak perlu panik, sebaliknya bersedia menghadapinya dengan matang. 


BN dan PN mempunyai pendekatan mereka, dan itu hak mereka. AMANAH dan PH pula akan teruskan dengan pendekatan kita yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara daripada kepentingan parti dan peribadi.


Sejarah juga banyak mengajar kita. PAS dan UMNO bukan baru menjalin hubungan. Mereka pernah bersama dan pernah berpisah. Jika mereka memilih untuk kembali bersama, kita lihat sahaja bagaimana perjalanan itu nanti dan sejauh mana keserasian itu dapat bertahan.


Bagi AMANAH dan PH, yang penting ialah terus bekerja. Dato’ Seri Anwar Ibrahim sentiasa komited membela Melayu dan memartabatkan Islam, bukan melalui ketakutan, tetapi melalui dasar yang memberi manfaat nyata kepada agama, bangsa dan negara.


Kita akan terus mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, sambil membina negara yang stabil, maju dan dihormati oleh dunia. Kita juga tidak akan sesekali terperangkap dengan mainan politik yang berasaskan sentimen dan perpecahan.


Bang Mat juga seperti anda semua, nak lihat lahirnya generasi Melayu yang berilmu, berintegriti, berdikari dan berani bersaing dengan sesiapa pun. Melayu yang kukuh ekonominya, mampu menguasai teknologi dan boleh menguasai dunia seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini. 


Membela Melayu bukan dengan mengulang naratif bahawa Melayu sentiasa terancam. Jika kita terus menanam rasa lemah, bila kita nak membina kekuatan? Tanggungjawab kerajaan ialah membina keyakinan, bukan menyemai ketakutan.


Bang Mat percaya orang Melayu hari ini sudah semakin matang. Mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan mainan sentimen yang tidak berkesudahan. Mereka bukan lagi bangsa yang mengharapkan ihsan semata-mata. Melayu kini semakin berani berdikari dan lantang menegakkan kebenaran. 


Akhirnya, Melayu yang kuat bukanlah Melayu yang hidup dalam ketakutan, tetapi Melayu yang berilmu, bermaruah, berintegriti, yakin diri dan berani bersaing dengan sesiapa sahaja.




No comments: