
Datuk Seri Aminuddin Harun pentadbir yang fokus memastikan ekonomi negeri berkembang dan kebajikan rakyat terjaga. Di bawah pimpinannya, Negeri Sembilan menikmati ketenangan politik.
PENDAPAT, 21 Jul – Gendang dipalu, kempen Pilihan Raya Negeri telah bermula di Negeri Sembilan. PRN kali ini amat kompleks; Adat Perpatih kini bertemu ‘crossroad’ antara mengekalkan tradisi atau tergelincir ke dalam kancah politik ekstrem.
Lebih membimbangkan, suasana kempen turut diwarnai retorik keterlaluan sehingga institusi Diraja seakan dicemari demi kepentingan politik jangka pendek.
Di persimpangan ini, kita dihidangkan dengan pilihan yang kontras. Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya dan Datuk Seri Aminuddin Harun di Seremban mewakili kestabilan. Anwar dan HARAPAN boleh memilih jalan mudah sebagai kerajaan populis yang mengejar sorakan, namun mereka memilih jalan sukar: meletakkan reformasi sebagai teras. Ini keberanian seorang negarawan yang mengutamakan masa depan negara.
Datuk Seri Aminuddin bukanlah Menteri Besar yang gemar berdrama. Beliau pentadbir yang fokus memastikan ekonomi negeri berkembang dan kebajikan rakyat terjaga. Di bawah pimpinannya, Negeri Sembilan menikmati ketenangan politik.
Apabila gandingan Aminuddin di peringkat negeri diselaraskan dengan agenda nasional Anwar, kita melihat enjin pemerintahan yang mantap. Siapa lagi mampu mengemudi negara di tengah gelora ekonomi global ini?
Telah terbukti HARAPAN tidak berpaksi pada konsep ketuanan sempit, sebaliknya konsisten menjunjung kedaulatan Raja dan Perlembagaan. Namun, lihatlah dilema ganjil pihak lawan. Bagaimana MCA dan MIC mahu berdepan ahli mereka apabila Umno membuat keputusan mutlak bekerjasama dengan Pas?
Apabila rakan dominan memilih haluan retorik ekstrem, apakah ruang tinggal bagi parti-parti ini selain menjadi pelengkap kata? Ini krisis identiti nyata bagi mereka yang mendambakan keterangkuman.
Rakyat menuntut kerajaan konsisten bekerja, namun rakyat juga harus konsisten dengan tanggungjawab mereka. Jangan hanya tahu mengadu dan melontar kritikan jika tanggungjawab mengundi dipandang sepi. Baliklah mengundi; hanya selepas itu, barulah kita mempunyai hak dan moral untuk menuntut akauntabiliti.
Anwar Ibrahim mungkin bukan pemimpin sempurna, dan Aminuddin Harun mungkin tidak banyak berjanji manis. Namun, mereka adalah gandingan nakhoda yang memilih untuk tidak menggadai prinsip demi kuasa.
Di tengah dunia yang gila dan politik penuh drama, mereka adalah pilihan paling rasional untuk menghalang negara daripada karam oleh budaya rasuah dan kejahilan.
Kestabilan adalah aset mahal. Jangan biarkan retorik kosong dan desakan pihak yang hanya mahu merosak terus mendominasi ruang udara. Fokus kepada agenda pembangunan; masa depan tidak harus dikorbankan demi permainan politik yang tidak berkesudahan.
Oleh Lai Chen Heng



No comments:
Post a Comment