Kekal Harapan di Negeri Sembilan, ini 10 komitmen utama untuk rakyat

 


Selepas tiga hari penamaan calon, Pakatan Harapan (PH) membentangkan 10 komitmen utama menerusi manifesto bertema ‘Kekal Harapan’ bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Pelancaran manifesto disempurnakan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke dan Pengerusi AMANAH Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Komitmen PH itu meliputi Mengekalkan Kerajaan Stabil, Bersih dan Mesra Rakyat; Memperkasa Skim Sejahtera Rakyat (SSR), Ekonomi Berdaya Saing dan Mewujudkan 30,000 Peluang Pekerjaan Bergaji Tinggi; Pendidikan Berkualti Untuk Semua serta Membina 20,000 Rumah Mampu Milik dan Penyelesaian Isu Tanah.

Selain itu, Belia, Wanita dan Keluarga Diberi Keutamaan; Pembangunan Pelancongan dan Warisan Adat, Kemajuan Seimbang Bandar dan Luar Bandar serta FELDA; Pertanian Moden dan Keterjaminan Makanan; Infrastruktur Strategik dan Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti serta Perpaduan Agama, Keharmonian dan Kemajuan untuk Semua.

Turut ditawarkan matlamat untuk menjayakan lima projek berimpak tinggi, iaitu Seremban Sentral dan kekerapan komuter Seremban–Kuala Lumpur (KL), hospital baharu di Bandar Enstek, Nilai; pelaburan antarabangsa baharu di Port Dickson, pembinaan Rumah Kedua di lot kediaman FELDA dan merealisasikan Pintasan Senawang-Port Klang.

PH berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar menawarkan janji tetapi kesinambungan kepada dasar yang terbukti berjaya dilaksanakan dan hala tuju baharu membawa Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing, mampan dan inklusif menjelang 2045.

Kerajaan stabil

Sejak 2018 mentadbir Negeri Sembilan , PH membuktikan kerajaan yang stabil mampu membawa kemajuan yang nyata.

“Negeri Sembilan berjaya mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu, memperkukuh jaringan kebajikan rakyat, memperkasa institusi pendidikan, memperluas pembangunan infrastruktur dan mengekalkan kedudukan kewangan negeri yang kukuh.

“PH komited untuk meneruskan agenda pembangunan Negeri Sembilan yang stabil, progresif dan inklusif.

“Manifesto ini berpaksikan keperluan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang mampan, peluang pekerjaan berkualiti, kebajikan yang menyeluruh dan pembangunan yang seimbang untuk seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Dalam masa sama, PH menyatakan komitmen untuk menyemarakkan syiar Islam sebagai agama Persekutuan dan memperkukuh institusi Islam negeri.

Gabungan itu juga bertekad untuk memperkasa pembangunan ummah dan mempertahan keharmonian masyarakat majmuk, kebebasan beragama dan perpaduan rakyat seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

PRN Negeri Sembilan menyaksikan sejumlah 889,490 pemilih terdiri daripada 867,151 orang pengundi biasa, 16,884 orang tentera serta pasangan dan 5,455 orang polis.

Semasa PRN ke-15 pada 2023, PH membentuk kerajaan negeri bersama BN selepas memperoleh kemenangan di 31 daripada 36 kerusi DUN.

PH memenangi 17 kerusi, BN 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat hanya lima kerusi.





No comments: