13 Stesen Minyak Sempadan Dikesan Jadi ‘Port’ Penyeludup

 


Sindiket menjadikan bahan api sebagai komoditi utama kerana permintaan tinggi di negara jiran selain faktor keuntungan cepat dalam pasaran gelap.

PADANG BESAR, 21 Jul – Penyeludupan bahan api bersubsidi khususnya diesel dikenal pasti sebagai antara jenayah paling dominan dalam aktiviti rentas sempadan di utara negara sejak pelaksanaan Op Tiris.

Trend itu dilihat berterusan apabila sindiket menjadikan bahan api sebagai komoditi utama kerana permintaan tinggi di negara jiran selain faktor keuntungan cepat dalam pasaran gelap.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, kawasan sempadan Kedah dan Perlis yang mempunyai banyak laluan darat tidak rasmi termasuk kawasan hutan dan ladang turut menyumbang kepada kesukaran membanteras aktiviti berkenaan secara menyeluruh.

“Kalau kita lihat barang kawalan di bawah kategori ini, ia termasuk diesel, petrol, minyak masak, tepung dan gula enam item utama yang sering dibawa masuk ke Thailand tanpa kebenaran dan daripada semua itu, diesel adalah yang paling utama.

“Dari segi laluan, sindiket menggunakan laluan haram di sempadan termasuk kawasan dari Wang Kelian, Padang Besar, Bukit Kayu Hitam hingga Chuping sebagai laluan utama,” katanya ketika meninjau operasi penugasan PGA Briged Utara di Padang Besar.

Beliau berkata, kawasan tertentu di sempadan dikenal pasti sebagai laluan berulang sindiket yang memanfaatkan kelompongan struktur sempadan untuk mengelak pengesanan.

Dalam masa sama, katanya, sindiket didapati bergerak lebih tersusun dengan rangkaian peranan berbeza bagi memastikan penghantaran barangan kawalan berjalan lancar tanpa dikesan pihak keselamatan.

“Keadaan di sempadan utara menunjukkan penyeludupan bahan api masih menjadi antara cabaran utama walaupun kawalan dan operasi bersepadu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Selain diesel, barangan kawalan lain turut dikesan dalam aktiviti rentas sempadan, namun tidak menunjukkan tahap dominasi seperti bahan api bersubsidi.

“Kita dapati penyeludupan berlaku secara satu hala, di mana barangan kawalan ini dibawa keluar dari Malaysia melalui laluan haram,” katanya.

Mengulas pelaksanaan Ops Tiris, Mohamad Suzrin berkata, kawalan di sempadan serta stesen minyak yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko dipertingkatkan sejak operasi itu dilaksanakan pada pertengahan April lalu.

“Di kawasan utara, kita mempunyai 13 stesen minyak di sempadan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ penyeludupan.

“Kawalan oleh PGA di negeri-negeri sempadan turut dipertingkatkan.

“Pada bulan pertama, jualan di stesen minyak di sempadan menurun sebanyak 20 peratus dan kita percaya jumlah itu sebelum ini digunakan bagi penyeludupan ke Thailand,” katanya.

 

Suzrin berkata, siasatan turut mendapati sindiket menggunakan dua kaedah utama membawa diesel keluar dari negara ini.

“Mereka menggunakan laluan haram di sepanjang sempadan, selain melalui laluan sah dengan menggunakan kenderaan yang diubah suai untuk membawa minyak dari Malaysia ke Thailand,” katanya.

Katanya, maklumat risikan mengenai kegiatan itu turut dikongsi dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi lain bagi membolehkan tindakan bersepadu diambil dalam mengekang ketirisan subsidi di sempadan.




No comments: