KITA LAWAN SAMPAI LUNYAI




 TEBUK ATAP SELEPAS PRN N9?


21 Julai 2026


Meskipun UMNO/BN berkali-kali meyakinkan bahawa mereka tetap menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana sehingga habis penggal, bahkan perkara itu dinyatakan turut terkandung dalam perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan pada 2022, tetapi ia bukanlah  jaminan mutlak bahawa tebuk atap tidak boleh berlaku.


Terbaru, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menafikan wujud sebarang pertemuan melibatkan Ahli Parlimen pelbagai blok bagi tujuan membentuk kerajaan baharu.


Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula dilaporkan memberi jaminan tidak akan berlaku tebuk atap sebelum PRU16 akan datang.


Tetapi, satu perkara harus diingat ialah politik itu bersifat dinamik dan pendirian boleh berubah mengikut masa, keadaan dan kepentingan.


Jika tidak melakukan perubahan di ketika masa, keadaan dan kepentingan menuntut untuk berubah, kekal statik tidak berubah dengan pendirian lama, ia hanya akan menyebabkan sesebuah parti itu tenggelam dibadai arus perubahan.


Lihat saja bagaimana UMNO dengan slogan “No Anwar No DAP” selama bertahun-tahun, tapi akhirnya akur juga untuk menjulang Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 lalu apabila keadaan menuntut demikian.


Dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan di mana kerjasama BN dan PN dijangka oleh banyak pihak akan membuahkan kejayaan besar, ia juga dijangka tidak mustahil membuatkan BN berubah pendirian daripada janji mempertahankan kerajaan perpaduan sampai habis penggal.


Realitinya, kesediaan BN  bekerjasama dengan PN di PRN Negeri Sembilan adalah gambaran janji tidak lagi melekat di hati.


Sebab itu,  jika setelah BN dan PN menang besar mengalahkan PH di Negeri Sembilan, bukan sesuatu yang pelik lagi jika hubungan kerjasama itu dianjak lagi ke fasa kebahagian yang seterusnya.


Selain tebuk atap diramalkan akan berlaku selepas PRN Negeri Sembilan, sudah ada juga yang menamakan siapa Perdana Menteri dan siapa Timbalan Perdana Menteri jika perkara itu menjadi kenyataan.


Diperkatakan lagi, berikutan kerjasama BN dan PN telah  berhasil lumayan di Negeri Sembilan dan merupakan gambaran awal mampu mengambil alih kerajaan di peringkat pusat pada PRU16 akan datang, ia turut ditambah dengan pandangan lain bahawa adalah lebih baik pengambil-alihan itu dilakukan lebih awal lagi tanpa menunggu pilihan raya diadakan.


Ini kerana, jika Perdana Menteri bertindak melewatkan tarikh pilihan raya sehingga betul-betul di akhir penggal, macam-macam perkara boleh berlaku yang mungkin akhirnya memberi kelebihan kepada PH untuk terus mengekalkan kuasa.


Selain itu, jika PRU16 dilewat, ia turut boleh menghilangkan momentum kemenangan yang telah diperolehi melalui kerjasama BN dan PN.


Dengan itu, projek tebuk atap sebagaimana dilakukan terhadap Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin sebelum ini dilihat sebagai pilihan yang sukar untuk dielakkan oleh BN dan PN.


Kelebihan jika tebuk atap berjaya ialah BN dan PN akan memasuki PRU16 sebagai kerajaan baharu yang sudah tentu banyak keistimewaannya berbanding status sekarang di mana BN sebahagian kerajaan, manakala PN masih pembangkang.


Diyakini jika  kerajaan dapat diambil alih lebih awal, kemenangan yang bakal diperolehi pada PRU16 juga akan lebih besar lagi.


Begitu pun, kiranya mengambil alih kerajaan tidak berjaya dan tebuk atap yang dilakukan  memberi Anwar tiada pilihan selain membubarkan Parlimen dengan segera, kelebihan tetap memihak kepada BN dan PN.


Ia berikutan momentum kemenangan di Negeri Sembilan  masih terasa panasnya untuk dijadikan hidangan kepada rakyat sebagai modal untuk  mengambil alih Putrajaya pula.


Pendek kata, projek tebuk atap sebelum penggal Parlimen ini berakhir, dengan syarat BN dan PN menang dengan cemerlang di Negeri Sembilan, boleh dikata tidak dapat dielakkan lagi. 


Tebuk atap, sama ada berjaya atau tidak, tetap memberi kelebihan kepada BN dan PN, tetapi tanpa tebuk atap,  ia hanya memberi lebih ruang Anwar kekal lagi sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua. - ShahbudinHusin 21Julai2026.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1340896048033511&id=100063393840098




No comments: