Semua janji PH ditunai, kecuali satu yang disekat Umno – Aminuddin

 


Pakatan Harapan (PH) mendakwa hampir keseluruhan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat Negeri Sembilan sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018 telah berjaya dilaksanakan, kecuali satu komitmen yang gagal direalisasikan kerana tidak mendapat sokongan Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, satu-satunya janji yang tidak dapat ditunaikan ialah cadangan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal, selepas usul pindaan itu tidak diluluskan oleh DUN.

“Manifesto ini bukan sekadar janji. Bagi saya yang paling penting ialah ia mampu dilaksanakan.

“Kita tidak perlu berjanji semata-mata, tetapi pelaksanaan adalah keutamaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Menurut Aminuddin, rekod pentadbiran PH sepanjang lapan tahun lalu membuktikan kerajaan negeri memberi keutamaan kepada pelaksanaan berbanding retorik politik.

Katanya, pengalaman mentadbir sejak 2018 memberikan keyakinan kepada PH bahawa semua komitmen baharu yang ditawarkan dalam manifesto kali ini juga mampu direalisasikan.

“Rakyat mahukan manifesto yang boleh dilaksanakan dan saya yakin kami mampu melaksanakannya.

“Kita ada rekod pencapaian. Kita sudah lapan tahun memerintah dan kita percaya kita boleh tunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat,” katanya.

Manifesto PH Negeri Sembilan kali ini menggariskan 10 komitmen utama, termasuk mengekalkan pentadbiran yang stabil, bersih dan mesra rakyat, memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR), mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi serta membina 20,000 rumah mampu milik.

Turut menjadi fokus ialah usaha memperkukuh sektor pendidikan, memperkasa belia, wanita dan institusi keluarga, selain meneruskan agenda pembangunan yang disifatkan mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat.

PH juga berjanji mempercepat pelaksanaan beberapa projek strategik bersama Kerajaan Persekutuan, antaranya Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, landasan Bypass Senawang–Port Klang, Hospital Bandar Enstek, pembangunan Seremban Sentral serta meningkatkan kekerapan perkhidmatan komuter antara Seremban dan Kuala Lumpur.

Aminuddin berkata, semua tawaran itu dirangka bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, selain mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan pelaburan yang dicapai Negeri Sembilan sepanjang dua penggal pentadbiran PH.



No comments: