Sebuah kain rentang yang memaparkan mesej mengenai isu Rohingya dan gesaan supaya Menteri Besar serta wakil rakyat bertindak kini tular di media sosial, sekali gus mencerminkan kebimbangan sebahagian masyarakat terhadap cara isu pendatang asing dan warga asing ditangani di Terengganu.
Kain rentang yang didakwa dipasang di laluan menuju asrama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus itu membawa mesej yang menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera.
Walaupun kesahihan lokasi dan pihak yang memasangnya belum disahkan secara bebas, gambar tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Bagi ramai pemerhati, apa yang lebih membimbangkan bukan sekadar kemunculan kain rentang itu, tetapi persepsi bahawa keresahan rakyat tidak ditangani melalui saluran komunikasi dan dasar yang jelas.
Tinjauan pada ruangan komen Facebook Greater Terengganu Development menunjukkan ramai pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang mereka anggap sebagai ketiadaan penjelasan dan tindakan yang meyakinkan daripada kepimpinan negeri.
Seorang pengguna, Ismail Ibrahim, menulis bahawa kemunculan kain rentang itu menggambarkan tahap keresahan masyarakat yang semakin memuncak.
“Bila naik kain rentang maknenya rakyat sudoh tidak tahan,” tulisnya.
Pandangan hampir sama disuarakan oleh Riez Zuan yang berpendapat isu tersebut semakin membimbangkan kerana wujud persepsi bahawa tiada pihak yang benar-benar mengambil perhatian.
“Rakyat sudah betul-betul tidak tahan ni. Nampak sangat macam tiada yang ambik cakna pasal ni,” katanya.
Sementara itu, beberapa netizen turut mempersoalkan peranan Menteri Besar, Ahli Dewan Undangan Negeri serta lantikan politik dalam menangani kebimbangan yang sedang dibincangkan masyarakat.
Pengguna Aliff Najmii mempersoalkan di mana keberadaan pemimpin negeri ketika isu tersebut menjadi perhatian umum, manakala Marissa Marissa menyifatkan keadaan itu telah menyebabkan rakyat semakin marah.
Dalam nada lebih keras, seorang lagi pengguna, Brosham Hassan, mengkritik kepimpinan negeri dan mendakwa mereka gagal memberikan penyelesaian yang diharapkan rakyat.
Pada masa sama, terdapat juga komen yang menegaskan keutamaan kerajaan adalah menjaga kepentingan rakyat. Pengguna Semut Merah menulis bahawa asas sesebuah negara ialah rakyatnya sendiri dan kerajaan perlu memberikan perhatian kepada kebajikan mereka.
Walaupun komen-komen tersebut merupakan pandangan individu di media sosial dan tidak semestinya mewakili keseluruhan masyarakat Terengganu, ia memperlihatkan wujudnya sentimen yang mahukan kerajaan negeri tampil dengan penjelasan yang lebih jelas serta tindakan yang proaktif bagi mengelakkan polemik ini terus berlarutan.
Pemerhati berpendapat bahawa komunikasi yang berkesan daripada pihak berkuasa amat penting bagi meredakan kebimbangan awam dan memastikan sebarang isu berkaitan warga asing ditangani melalui dasar serta penguatkuasaan undang-undang, bukannya melalui spekulasi atau tindakan sendiri oleh mana-mana pihak.
Dalam masa sama, media sosial turut memperkatakan mengenai satu insiden di Kampung Mak Kemas, Marang, apabila sebuah kedai runcit diserang oleh tiga lelaki tempatan.
Menurut ahli keluarga mangsa, Ainul Rahmah, kedai tersebut diuruskan oleh adik iparnya yang merupakan warga Bangladesh dan telah menetap secara sah di Malaysia selama 12 tahun.
Beliau berkata, adik iparnya memiliki permit yang sah, pasport, lesen memandu serta menjalankan perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan undang-undang.
Sekiranya maklumat tersebut benar, insiden itu menimbulkan persoalan besar tentang risiko apabila kemarahan terhadap sesuatu isu disalurkan kepada individu yang berada di negara ini secara sah dan menjalankan perniagaan mengikut undang-undang.
Ramai berpendapat walaupun isu pendatang asing di bawah agensi kerajaan pusat tetapi kerajaan negeri Terengganu perlu tampil memberikan penjelasan dan pendirian yang jelas mengenai isu-isu berkaitan warga asing bagi mengelakkan salah faham dan ketegangan dalam masyarakat.
Sebarang kebimbangan rakyat wajar ditangani melalui penguatkuasaan undang-undang, komunikasi yang telus serta tindakan berasaskan fakta, bukannya membiarkan persepsi berkembang tanpa penjelasan sehingga boleh mencetuskan tindakan sendiri oleh segelintir pihak.
Pada masa yang sama, sebarang serangan atau keganasan terhadap individu atau premis perniagaan adalah satu kesalahan undang-undang dan tidak boleh dijadikan jalan penyelesaian kepada isu dasar awam.
Dakwaan mengenai motif insiden di Marang juga wajar disiasat oleh pihak berkuasa dan tidak boleh dianggap mempunyai kaitan dengan mana-mana isu tanpa bukti.
No comments:
Post a Comment