Pertemuan PM Anwar, Corbyn Bincang Hubungan Malaysia-UK, Situasi Gaza

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu sahabat baik Jeremy Corbyn semasa lawatan kerja ke UK pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

LONDON, 18 Jan – Semasa sela-sela lawatan kerja di United Kingdom (UK), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan tokoh politik British Jeremy Corbyn di sini pada Jumaat.

Perdana Menteri yang menyifatkan Corbyn sebagai sahabat lamanya berkata pertemuan itu dimanfaatkan untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan mengenai hubungan antara dua negara daripada landskap pelaburan, perdagangan dan ekonomi.

Selain daripada perbincangan berkenaan, kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai isu semasa dunia termasuk gencatan senjata di Gaza yang dijadualkan berlaku pada pagi Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima beberapa buah buku ketika bertemu sahabat baik Jeremy Corbyn semasa lawatan kerja ke UK pada Jumaat. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Moga hubungan persahabatan ini terus murni dan kekal berpanjangan. Insya-Allah,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Corbyn merupakan Ahli Parlimen bebas serta bekas pemimpin Parti Buruh yang mewakili kawasan parlimen Islington North.

Terdahulu Anwar yang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Keir Starmer pada Rabu, kini dalam rangka kerja lawatan ke United Kingdom dari 15 hingga 19 Januari dan selepas itu beliau akan meneruskan lawatan kerja dua hari ke Brussels, Belgium.