Potensi Pelaburan RM11 Bilion Diraih Pada Lawatan Sulung PM Anwar Ke UK

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi mesyuarat secara bersemuka bersama lima kapten industri dan syarikat-syarikat terkemuka berpangkalan di United Kingdom (UK) di London pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

LONDON, 18 Jan – Potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor termasuk Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan ekonomi digital berjaya diraih sempena lawatan kerja sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim ke London, United Kingdom (UK) selama lima hari.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap dasar negara selepas beliau dan delegasi negara mengadakan beberapa siri pertemuan dengan 31 kapten industri terkemuka di UK pada Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Meja Bulat bertemu pemain industri dan pelabur institusi terkemuka di London pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Antara GLIC dari Malaysia yang terlibat ialah Bursa Malaysia (Bursa Malaysia), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Gamuda Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Petronas UK.

Manakala, syarikat dari UK antaranya adalah Air Bus UK, AstraZeneca, Jaguar Land Rover, Nottingham University dan Raw Energy.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Meja Bulat bertemu pemain industri dan pelabur institusi terkemuka di London pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Sesi mesyuarat meja bulat itu meliputi pelbagai sektor seperti petroleum dan gas, aeroangkasa, pendidikan, automotif, tenaga boleh dibaharui serta pertahanan.

Ia kemudian disusuli dengan pertemuan perniagaan satu demi satu bersama lima syarikat dari UK.

Ia termasuk Standard Chartered PLC, Jaguar Land Rover Automotive PLC, Raw Energy, Yondr Group Ltd dan Unisnacks Europe Ltd.

Jelas beliau, potensi eksport yang dijana dalam tempoh lima tahun akan datang pula direkodkan sebanyak RM500 juta meliputi produk peralatan dan komponen pesawat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) nenjawab soalan ketika sidang media berhubung lawatan kerja beliau ke United Kingdom, London pada Jumaat. Turut sama (dari kanan) Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Foto Bernama

“Saya ada beberapa pertemuan dengan ketua-ketua syarikat, dan dalam pertemuan itu dizahirkan usul mereka.

“Menarik juga selain daripada pelaburan, ada dalam kalangan mereka yang memilih untuk mengimport barangan sekitar masa singkat kira-kira RM500 juta,” katanya dalam sidang media bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja beliau ke UK pada Jumaat malam (waktu tempatan).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Battersea Power Station bagi meninjau infrastruktur yang dibangunkan secara bersama oleh beberapa konsortium Malaysia di London pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Perdana Menteri juga memaklumkan, Malaysia dan UK bersetuju untuk meningkatkan kerjasama ke tahap perkongsian strategik meliputi pelbagai sektor.

Jelas beliau, ia meliputi bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI) dan digital, perubahan iklim, pendidikan tinggi, pertahanan, serta keselamatan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi meja bulat bersama kapten industri dan syarikat-syarikat berpangkalan di United Kingdom (UK) di London pada Khamis. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Pertemuan dengan beberapa syarikat yang diatur oleh MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) nampaknya kesediaan menunjukkan peningkatan mendadak.

“Pertama mereka melihat ada kerjasama yang lebih erat antara dua kerajaan. Keduanya, kesungguhan kerajaan pentadbiran Keir Starmer untuk meningkat hubungan dengan Malaysia,” tambah Anwar.

Perdana Menteri kini dalam rangka kerja lawatan ke London, UK dari 14 hingga 19 Januari atas jemputan Starmer bagi memperkukuh hubungan kedua-dua negara sebelum berlepas ke Brussels, Belgium pada 19 Januari.