Seorang wakil rakyat Selangor menyatakan rasa kesal terhadap insiden yang tular sejak semalam mengenai seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang dipukul oleh orang ramai tanpa belas kasihan.
Adun Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata, insiden terbabit jelas bukan sahaja menunjukkan keganasan, tetapi mengisyaratkan kurangnya kesedaran dan empati terhadap golongan OKU dalam masyarakat kita.
Beliau melihat perlunya ada galakkan untuk lebih banyak dialog dan interaksi yang sihat antara masyarakat umum dan komuniti OKU bagi mengelakkan insiden seperti ini daripada berulang.
“Pihak berkuasa perlu memastikan keadilan ditegakkan dalam kes ini dan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat.
“Saya bersimpati kepada mangsa serta keluarganya, dan berharap pihak berwajib dapat memberikan perlindungan dan sokongan yang diperlukan untuk memulihkan keadaan mental serta fizikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Danial yang juga Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), mengingatkan semua pihak untuk ingat bahawa Malaysia sebagai negara yang menjunjung nilai-nilai kemanusiaan dan Madani, perlu memastikan masyarakat lebih sensitif terhadap keperluan dan kelemahan golongan OKU.
Sifat empati perlu disemai dalam jiwa setiap individu agar kita tidak terus terjebak dalam amalan keganasan dan diskriminasi terhadap mereka yang memerlukan bantuan, bukan hukuman.