PASCA PRK SG BAKAP - KITA TIDAK HILANG TETAPI KITA GAGAL MENAMBAH



Selepas PRN 6 buah negeri, Kelantan Terengganu, Kedah, Selangor  P.Pinang dan N. Sembilan, terdapat beberapa PRK diadakan.  Setakat ini, kesemua PRK tersebut tiada mana-mana parti berjaya merampas kerusi, sebaliknya masing-masing mengekalkan kerusi parti masing-masing.


Di PRK Parlimen Kemaman, PN berjaya kekalkan kerusi mereka.  Di Parlimen Pulai dan Dun Spg Jeram, PH/Kerajaan Perpaduan kekal di kerusi masing-masing.  Begitu juga di PRK Dun Pelangai dan Kuala Kubu Baru, kerajaan perpaduan melalui Umno/Bn dan Dap terus kekal di kerusi tersebut.  Terbaru, di Dun Sg Bakap, PN melalui Pas berjaya kekalkan kerusi mereka.  Keseluruhannya, PH/BN/Kerajaan Perpaduan menang 4 kerusi dan PN berjaya di dua kerusi.  Apa yang akan berlaku di PRK Nenggiri, Kelantan selepas ini?  Berjayakah Kerajaan Perpaduan merampas kerusi tersebut atau PN tetap kekal memegangnya?  Nanti kita ulas kemudian.


Mengapa Pas begitu teruja apabila mereka berjaya di Sg Bakap, sedangkan itu memang kerusi mereka?  Mereka merayakan kemenangan itu seolah-olah itu reforendum rakyat tolak kerajaan perpaduan.  Masuk akalkah kerajaan perpaduan yang telah menang di 4 kerusi daripada 6 kerusi dalam PRK dikatakan rakyat menolak kerajaan perpaduan?Sekali lagi puak lebai gagal mengira di antara 4 dengan 2, mana satu jumlah yang lebih besar.  Sebelum ini, lebai Hadi turut yakin bahawa partinya dan PN boleh menjadi kerajaan dengan cukup jumlah iaitu 73 kerusi, berbanding 82 kerusi dari PH.  Ini semua melucukan.


Apa yang berlaku di Sg Bakap adalah calon dari PH/kerajaan perpaduan tidak tewas kerana tiada kerusinya yang berjaya dirampas tetapi PH/kerajaan perpaduan tidak bernasib baik untuk cuba menambah kerusi.  Itu sahaja.  Sudah pastinya di PRK Dun Nenggiri Ogos nanti, sekali lagi parti dari kerajaan perpaduan akan berusaha untuk merampas kerusi tersebut dari PN.  Mana-mana parti yang kerusinya dirampas, itulah parti yang kalah sebenarnya.


Sehubungan itu, PN tidak boleh perasan kononnya kerajaan perpaduan sekarang telah ditolak oleh rakyat hanya kerana mereka berjaya kekalkan kerusi di Sg Bakap.  Apakah peratusan keluar mengundi tidak sampai 70% boleh menggambarkan penolakan rakyat terhadap kerajaan perpaduan?  Bagaimana pula dengan peratusan yang mengundi di 4 PRK yang dimenangi oleh kerajaan perpaduan sebelum ini?  


Saya terima hakikat bahawa banyak kelemahan di pihak kerajaan perpaduan telah menyumbang kepada kegagalan kita merampas kerusi Sg Bakap.  Jangan salahkan jentera2 yang hadir membantu terutamanya jentera dari Bn yang dilihat lebih aktif berbanding di Kuala Kubu Baru.  Jentera2 dari PH yang datang membantu juga amat baik.  Namun, paling penting adalah kekuatan diperingkat tempatan itu sendiri iaitu di peringkat Parlimen atau Cabang.  Apakah Cabang Keadilan di sini kuat atau aktif?  Apakah MP di sini telah cukup melaksanakan tugasnya di semua Dun termasuk Sg Bakap yang berada di bawahnya?  


Sebab itu Presiden Keadilan selalu berpesan agar setiap Cabang mesti bergerak dan aktif, jangan tunggu ada pilihanraya baru bergerak.  Setiap MP atau Adun mesti kerap turun lapangan untuk mengetahui permasalahan rakyat di bawah.  Ada lagi beberapa faktor sampingan yang lain seperti penerangan dari pihak media kerajaan, sentimen kaum dan agama serta fitnah terang-terangan dari pihak lawan terhadap kerajaan dilihat gagal ditangani dengan baik.  Kita patut bersyukur masih ada cytro-cytro atau Tik Tokers pro kerajaan yang terus setia siang malam memberikan penerangan dan menjawab segala fitnah pihak Pembangkang yang boleh melegakan sedikit dari terus menerima kekalahan yang lebih besar.   Saya tidak mahu ulas apa fungsi JKOM kerana saya tidak pasti ianya masih wujud atau tidak.


Saya yakn, kemenangan pertama kita nanti adalah di Nenggiri sekiranya kita pantas mengatasi beberapa kelemahan yang ada.


WFAUZDIN NS