UNTUK APA NAFI, KERAJAAN NAK JAGA HATI SIAPA?

 

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil menafikan siasatan pihak polis terhadap Bloomberg adalah atas arahan kerajaan.

Katanya, tiada sebarang arahan dikeluarkan oleh kerajaan untuk mengambil tindakan ke atas Bloomberg.

“Pihak polis memulakan siasatan selepas ada aduan dikemukakan oleh firma guaman yang mewakili salah satu pihak yang disebut dalam laporan Bloomberg itu.

“Laporan polis dibuat oleh pihak Berjaya Corp Bhd. yang didakwa dalam laporan Bloomberg kononnya terlibat dalam cubaan membuka kasino di Forest City.

“Berdasarkan laporan media yang saya teliti, laporan polis yang dibuat mengenai isu ini ialah daripada pihak Berjaya, bukan laporan dari pihak kerajaan, bukan dari kementerian, dan bukan dari MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia),” ujarnya lagi.

Fahmi menambah, disebabkan sudah ada laporan polis, maka pihak berkuasa mengambil langkah seperti sepatutnya iaitu menjalankan siasatan.

“Jadi saya tegaskan, siasatan dibuat bukan atas arahan kerajaan, tapi hasil laporan polis yang dibuat oleh firma guaman yang mewakili syarikat yang dikaitkan dalam laporan oleh Bloomberg itu,” tambah beliau.

Dua tiga kali saya membaca laporan berita mengenai Fahmi ini dan saya tertanya-tanya, untuk apa Fahmi mengeluarkan kenyataan demikian?

Rasanya semua orang tahu dan faham bahawa yang membuat laporan polis mengenai Bloomberg itu ialah Berjaya Corp. Bhd.

Tetapi, untuk apa Fahmi bertegas mengatakan kerajaan tidak terlibat dan tidak pernah mengeluarkan arahan untuk pihak polis menyiasat Bloomberg?

Sepatutnya dalam isu fitnah oleh Bloomberg itu, meskipun Berjaya lebih dulu membuat laporan polis, kerajaan harus juga membuat laporan polis susulan untuk menunjukkan betapa seriusnya kerajaan menolak fitnah yang agensi berita itu lakukan.

Setidak-tidaknya, jika itu dilakukan, kerajaan boleh dengan bangga mengatakan mereka juga telah membuat laporan polis dan mahu fitnah tersebut diambil tindakan yang sewajarnya.

Ini tidak, sudahlah pihak kerajaan tidak membuat laporan polis bila difitnah oleh Bloomberg, kemudian bersungguh-sungguh pula menafikan kerajaan tidak terlibat dan tidak pernah mengeluarkan arahan bila agensi berita itu sudah disiasat atas laporan polis yang dibuat oleh Berjaya Corp. Bhd.?

Kerajaan seujurnya patut malu kerana dengan penegasan tidak terlibat dalam siasatan polis terhadap Bloomberg sebagaimana ditegaskan Fahmi itu, ia dengan sendirinya menunjukkan kerajaan tidak berbuat apa-apa terhadap fitnah dilakukan agensi berita itu.

Saya masih mencari jawapan, apakah tujuan penafian Fahmi itu dan ia untuk jaga hati siapa? – ShahbudinHusin 08Mei2024.

 

No comments: