TAK DAPAT DIPERTAHAN LAGI, DUA WAKIL RAKYAT BERSATU MEMANG TERLUCUT KEAHLIAN SECARA AUTOMATIK

 

Sementara Bersatu sudah memutuskan akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adunnya yang telah mengkhianati parti berkaitan status keahlian masing-masing pada minggu depan, dua daripada mereka dianggap sudah pun sah terlucut keahliannya.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin berkata, dua wakil yang telah dianggap gugur keahlian secara automatik itu ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi dan Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari.

Menurut beliau, keahlian mereka dianggap gugur berikutan kedua-duanya terlibat menyertai kempen untuk menyokong calon DAP yang mewakili PH dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

“Dua wakil rakyat Bersatu itu berceramah di pentas PH dalam kempen PRK KKB, kalau ikut perlembagaan kita (Bersatu) secara automatik (keahlian) mereka ini terhenti,” katanya selepas menghadiri ceramah Perikatan Nasional (PN) di Bandar Utama Batang Kali.

Jelasnya, disebabkan keahlian mereka telah terhenti, selaras dengan akta lompat parti, kedua-duanya perlu mengosongkan kerusi Parlimen dan DUN bagi membolehkan PRK diadakan.

Kata Hamzah lagi, sebaik PRK KKB, pihaknya akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu yang telah mengkhianati parti dan beralih menyokong Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, Amirudin Saari.

Selain Dr Zulkafperi dan Abdul Rashin yang berkempen untuk PH di KKB, lima yang lain ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dalam kes dua wakil rakyat Bersatu yang secara terbuka menyertai kempen menyokong calon PH di KKB, adalah jelas perbuatan mereka itu tidak dapat untuk dipertahankan lagi.

Di bawah akta lompat parti dan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan RoS baru-baru ini, ia adalah kesalahan yang sangat jelas.

Cuba kita bayangkan jika ada wakil rakyat PH yang turun berkempen untuk calon PN, apakah boleh kita mempertahankan mereka agar tidak diambil tindakan?

Begitu juga, jika ada wakil rakyat UMNO yang secara terbuka berucap di pentas PN dan bersungguh-sungguh berlempen agar calon PH dikalahkan, apa logiknya untuk mempertahankan mereka daripada tidak diambil tindakan?

Akta lompat parti yang diluluskan di Parlimen secara mudahnya ialah untuk menghalang perbuatan khianat dan menjual sokongan kepada pihak yang bertentangan dengan pendirian parti yang wakil rakyat itu wakili.

Ia bukan saja salah jika dilakukan oleh wakil rakyat Bersatu, tetapi juga oleh sesiapa dan daripada parti mana sekali pun.

Dengan itu, khususnya kepada Dr Zulkafperi dan Abdul Rashid, jika benar mereka masih ada maruah serta harga diri, eloklah secara sukarela mengumumkan keluar parti dan mengosongkan kerusi yang diwakili.

Tak perlu tunggu parti mengambil tindakan dan tak usahlah juga berdalih macam-macam lagi untuk terus mempertahankan kerusi dan elaun wakil rakyat yang sedang diterima, sebaliknya insaflah bahawa kedudukan yang diperlolehi sekarang ini adalah atas nama dan tiket parti.

Begitu juga dengan lima lagi wakil rakyat Bersatu yang bakal menerima surat pada minggu depan, daripada segi maruah dan harga diri, mereka juga harus mengosongkan kerusi masing-masing.

Tiada mana-mana parti menghalalkan perbuatan khianat, maka wajarlah kerusi yang dipegang sekarang dikembalikan dan biarlah pengundi membuat pilihan senula. – ShahbudinHusin 09Mei2024.