TAK LAMA LAGI PENYOKONG2 NAJIB PUN AKAN BERUBAH JADI BAIK, MEREKA BIMBANG JUGA BERSATU GANTI UMNO

 

Dalam kes pengurangan hukuman yang diterima Najib Razak daripada Lembaga Pengampunan, jika kita teliti, yang paling banyak mempertikaikannya ialah penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri itu.

Di antara mereka itu, ada yang berkedudukan dalam kerajaan serta memegang jawatan agak penting dalam UMNO Pusat.

Mereka mempertikaikan dan tidak puas hati kerana berharap Najib diberi pengampunan penuh dan boleh bebas dengan serta merta.

Tentulah harapan seterusnya agar Najib boleh kembali bertanding di Pekan supaya lebih senang untuk dicanang sebagai Perdana Menteri masa depan.

Selain membandingkan dengan pengampunan Anwar Ibrahim dulu, ada juga yang seperti menyalahkan Perdana Menteri, konon tidak membantu untuk membebaskan Najib.

Sebahagian yang lain pula menyalahkan Zahid Hamidi, juga kononnya kerana tidak memberi tekanan kepada cukup kuat kepada Anwar bagi pengampunan Najib itu.

Sepatutnya, penyokong-penyokong Najib tidak mengeluh, marah atau kecewa kerana mana pernah ada banduan selama ini yang dijatuhi hukuman 12 tahun penjara, tetapi hanya setelah setahun lebih menjalani hukuman, tempohnya sudah dikurangkan sebanyak 50 peratus, manakala dendan diberi diskaun 76 peratus.

Beli barang sewaktu mega sale pun tak dapat diskaun sebanyak itu.

Untuk itu, bersyukurlah.

Tetapi, mereka yang menyokong PH, walaupun ramai yang berasa kecewa dengan pengurangan hukuman tersebut lantaran merasakan belum masanya lagi untuk Najib diberi sama ada pengurangan hukuman, apa lagi pengampunan penuh, apa yang dikehendaki hanyalah alasan atau sebab hukuman itu dikurangkan.

Mereka secara umumnya sedar keputusan Lembaga Pengampunan adalah hak serta budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

Cuma, kata mereka, kalau keputusan boleh dibuat, takkan memberi sebab mengapa keputusan tersebut diambil tidak boleh dijelaskan secara terbuka kepada rakyat jelata.

Begitu pun kali ini, reaksi pemimpin PKR dan Amanah agak perlahan dan hampir-hampir tidak kedengaran dalam isu Najib ini.

Jika dulu Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution Ismail, Shamsul Iskandar Mohr Akin, Mohamad Sabu dan lain-lain – sebagai contoh – dilihat begitu sensitif dengan nama Najib dan akan tampil memberi respon jika ada sesuatu isu timbul mengenai sosok itu, kali ini ramai yang jadi rindu dengan suara mereka.

Kata seorang teman, baik hati hati betul PKR dan Amanah kali ini, boleh beri markah terpuji.

Agaknya mereka terlalu ingin menjaga hati UMNO dan takut parti itu menarik sokongan, lalu kerajaan tumbang di tengah jalan.

Ada juga yang bersuara keputusan Lembaga Pengampunan itu memperlihatkan kebijaksanaan kerajaan dalam menangani isu Najib dengan ungkapan manis – menerima mudarat kecil bagi menolak mudarat yang lebih besar.

Kononnya, jika Najib diampun penuh, pasti lebih ramai penyokong PH dan rakyat berasa marah, tetapi jika ditolak pula, UMNO akan terlebih marah.

Maka, sebagai jalan tengah kononnya, diberikanlah pengampunan separuh dari segi hukuman penjara dan pengampunan 76 peratus dalam denda.

Yang ada bersuara dalam PH hanyalah beberapa pemimpin DAP yang nampaknya kekal bertahan menolak skandal 1MDB, itu pun Anthony Loke membisu juga.

Benarkah kerajaan akan tumbang jika pengampunan Najib ditolak?

Secara matematiknya, UMNO tidak mungkin berani menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan.

Pertama, kerana jika UMNO dan BN (30 Ahli Parlimen) berbuat demikian, kerajaan yang kini disokong 154 Ahli Parlimen sama sekali tidak tumbang.

Sebaliknya, UMNO yang akan melopong.

Lagi pula, UMNO adalah parti yang sudah biasa dengan kuasa dan menjadi kerajaan.

Tanpa berada dalam kerajaan, UMNO akan menjadi seperti lelaki yang kematian bini.

Mudah kata, tak mungkin UMNO tinggalkan kerajaan ini, lagi pun Zahid Hamidi tidak terkesan apa-apa dengan Najib tidak diberi pengampunan penuh.

Yang kedua, jika UMNO meninggalkan kerajaan, tidak mustahil yang datang mengganti ialah Bersatu.

Kalau Anwar boleh menerima enam Ahli Parlimen Bersatu yang berdada lapang memberi sokongan, tentulah tiada masalah juga untuk beliau menerima jika kesemua Ahli Parliemen parti itu sudi untuk bertandang.

Ini politik, di celah mana pun di dunia ini, yang dikejar lalah kuasa dan bagaimana untuk menjadi atau berada sebagai sebahagian daripada kerajaan.

Sebagaimana Anwar akan berusaha mengekalkan kuasa, yang lain-lain pula sentiasa mengintai ruang untuk bersama.

Silap-silap dengan Pas sekali akan meluru masuk mengukuhkan kerajaan.

Sebab itu, dalam kes Najib ini, baik Bersatu mahu pun Pas, mereka juga sama seperti PKR dan Amanah, begitu baik hati dan berkelakuan terpuji.

Tak lama lagi, penyokong-penyokong Najib pun sama, terutama yang ada sedikit sebanyak laba dan jawatan dalam kerajaan, kelakuan mereka pun jadi baik dan terpuji juga. – ShahbudinHusin 07/02/2024.

 

No comments: