‘HUBUNGAN DINGIN MUHYIDDIN-HADI, PN AKAN TERKUBUR’

 



Bibit hubungan dingin antara Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Hj Hadi Awang menimbul spekulasi Perikatan Nasional (PN) bakal menghadapi masalah besar pada bulan bulan mendatang.

Memburukkan lagi masalah itu, menurut penganalisis politik, keputusan 6 Ahli Parlimen Bersatu yang secara terbuka menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah olah ‘mencurah minyak ke dalam api’ kepada masalah hubungan sesama komponen PN tersebut.

Bagi Ketua Cabang KEADILAN Kuala Terengganu, Azan Ismail, hubungan dingin berkenaan adalah bibit awal perpecahan yang bakal melanda PN.

Katanya, PN mungkin mengulangi nasib Muafakat Nasional (MN) yang berkubur menjelang Pilihan Raya Umum 2022 lalu.

“Melihat keadaan politik pembangkang yang tidak stabil, bertelagah sehingga 6 Ahli Parlimen Bersatu buat pendirian menyokong Perdana Menteri secara terbuka, jadi memang (dirasakan) akan cepat terbubar gabungan (PN) itu,” katanya kepada Suara Keadilan.

Bahkan Azan juga yakin keretakan yang semakin jelas itu bakal membubarkan kerjasama Bersatu-Pas lebih cepat berbanding kerjasama bersama Semangat 46 (S46) dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang disertai Pas pada 1990an lalu.

“Saya lihat Perikatan Nasional (PN) akan terkubur lebih cepat berbanding S46 (APU), kerana mereka (APU) tidak bertelagah secara terbuka.

“Namun keadaan itu berbeza dengan PN yang sekarang ini mula bertelagah secara terbuka, dan saya yakin rakyat akan hilang kepercayaan kepada mereka. Maka lagi cepat gabungan itu terbubar,” ujarnya.

Sebelum ini, menurut sumber FMT, hubungan dua pemimpin pembangkang Hj Hadi dan Muhyiddin kian goyah terkait kegagalan Pas menampilkan Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri, selepas Muhyiddin tidak meneruskan hasrat berundur pada pemilihan parti tahun lalu.

Dakwa portal itu, kedudukan blok PN semakin rapuh ekoran keputusan Hj Hadi tidak hadir ke mesyuarat PN, sebaliknya diwakili Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

Keadaan itu sedikit sebanyak mirip kepada situasi Muafakat Nasional (MN) yang dianggotai UMNO-Pas, apabila Hadi tidak lagi menghadiri mesyuarat yang akhirnya menguburkan kerjasama itu.