KONON ADA 140 SOKONGAN DARIPADA 191 BAHAGIAN, TAPI KENAPA MASIH PENGECUT?


 Sekumpulan 140 Ketua UMNO Bahagian, kononnyalah, dilaporkan berkumpul malam tadi untuk menyatakan sokongan kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan.

Bagaimanapun, sokongan mereka bukan bagi mempertahankan Zahid Hamidi dan Mohamad untuk siap sedia berlawan atau sebagai benteng hadapan dalam pertandingan, tetapi agar kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

Maknanya, mereka berkumpul malam tadi adalah agar Zahid Hamidi dan Mohamad diberi kemenangan percuma atau “menang secara betina” dalam pemilihan UMNO akan datang ini.

Jurucakap kumpulan terbabit, Mohd Shafei Abdullah daripada Wangsa Maju dilaporkan berkata, Ketua-Ketua UMNO bahagian berkenaan sepakat mendesak agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

Beliau berkata, tumpuan UMNO ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.

“Untuk berdepan enam PRN tahun ini, kita perlu parti UMNO yang kuat, justeru kami berharap presiden (Ahmad Zahid) mengambil kira pandangan ini dan memastikan tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti,” katanya pada sidang media itu.

Kehkehkeh…tikus di sawah padi pun barangkali ketawa dengan mereka ini – berkumpul beramai-ramai, tapi takut nak berlawan.

Kalau begitu, buat apa berkumpul dan bersolidariti?

Jika benar ada 140 bahagian berada di belakang Zahid Hamidi dan Mohamad sekarang, kenapa masih takut dan pengecut dengan pertandingan?

Dengan mendakwa memiliki 140 sokongan daripada 191 bahagian UMNO yang ada di seluruh, mereka yang berkumpul malam tadi sepatutnya bersuara dengan gagah – “marilah berlawan dengan kami kerana kami ada sokongan majoriti”.

Tetapi, kenapa berkumpul beramai-ramai dan mendakwa memiliki sokongan daripada 140 bahagian, namun masih pengecut untuk berlawan?

Konon ada 140 Ketua Bahagian, hairannya semacam kecut perut nak berlawan dengan lawan yang hanya tinggal 51 bahagian bersama mereka.

Betulkah ada 140 sokongan daripada bahagian-bahagian sebagaimana didakwa itu?

Pernahkah kita lihat lihat di dunia ini orang yang mendakwa ia kuat dan memiliki sokongan majoriti, tetapi bersikap pengecut dan tidak berani berdepan pertandingan?

Ataukah dakwaan ada sokongan 140 bahagian itu hanya sekadar propa untuk mendapat upah dan melobi jawatan daripada Zahid Hamidi dan Mohamad yang kini berkedudukan dalam kerajaan?

Sebenarnya, berdasarkan daripada pelbagai maklumat yang diterima, sokongan yang didakwa mewakili 140 bahagian itu “jauh panggang dari api”.

Sokongan mereka tidak sampai pun 100 bahagian, kata seorang pemimpin bahagian yang dihubungi.

Maklumat daripada media pula mengatakan, kehadiran Ketua-Ketua UMNO bahagian di Royal Chulan malam tadi juga jauh lebih rendah daripada 140 yang didakwa itu.

Ohhhh…patut lerrrr….– ShahbudinHusin 12/01/2023.



No comments: