Ketua Pemuda Amanah ‘hampir pasti’ tanding Parlimen Temerloh

 

Pada PRU14, Hasbie Muda mencuba nasib dengan bertanding di kerusi DUN Paka, namun tewas kepada calon PAS. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda difahamkan hampir pasti akan bertanding di Parlimen Temerloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Sumber yang terlibat secara langsung dengan pemilihan calon Amanah juga berkata, nama Hasbie berada dalam senarai teras calon-calon yang dicadangkan bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu pada PRU sebelum ini.

“Hasbie hampir pasti bertanding di Temerloh, setakat ini nama beliau yang teratas dalam senarai cadangan oleh parti,” kata sumber kepada FMT.

Sementara itu, Hasbie tidak menolak jika namanya dicalonkan di Temerloh.

“Saya sedia dihantar ke Temerloh atau ke mana-mana kerusi. Amanah akan umumkan calon 30 Okt ini,” katanya ketika dihubungi.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Temerloh dimenangi Anuar Tahir yang menewaskan calon-calon BN dan PAS dengan majoriti 1,904 undi.

Sementara itu, Hasbie mencuba nasib pada PRU14 dengan bertanding di kerusi DUN Paka, namun tewas kepada calon PAS.