‘Sebelah kaki’ dalam istana tapi Anwar terlepas kerusi PM kerana UMNO



Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau tersingkir daripada kerusi Perdana Menteri (PM) kesembilan kerana tidak menandatangani perjanjian dengan Datuk Seri Najib Razak.

Presiden PKR yang juga calon PM dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan, juga mendakwa telah memiliki 114 sokongan untuk menjadi PM kesembilan.

Tetapi, menurutnya sokongan itu yang turut datang daripada ahli Parlimen UMNO terus berubah apabila beliau enggan menurut kehendak Najib supaya membebaskannya.

“Perubahan sokongan itu tidak akan berlaku jika saya tunduk kepada kehendak Najib, agar dia tidak dikenakan hukuman atas pertuduhan jenayahnya.

“Kalau saya tolak prinsip, sedia bertolak ansur (dengan Najib), dah lama saya menjadi perdana menteri.

“Kalau saya kemaruk nak jadi perdana menteri, saya tandatangani perjanjian dengan Najib. Dan (kalau itu berlaku) hari ini saya yang jadi perdana menteri, bukan Ismail Sabri,” katanya menurut Mkini.

Sebelum ini, Anwar telah beberapa kali gagal merebut kerusi PM, walaupun pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan memangku jawatan PM ketika Tun Dr Mahathir Mohamad bercuti pada 1997.

Dan setelah empat pemimpin berganti menjadi PM Malaysia dengan dua kali dipegang oleh Dr Mahathir, Anwar masih menafikan dakwaan bahawa beliau “kemaruk” mahu menjadi PM.

Anwar memberitahu ketika berlaku krisis politik ekoran kejatuhan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digulingkan oleh 15 ahli Parlimen UMNO, beliau sudah sangat hampir menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Saya nak beritahu, sebelah kaki saya dah ada di Istana Negara untuk angkat sumpah pada keesokan hari. (Bagaimanapun) Malam itu Najib meminta saya tandatangani perakuan untuk beri jaminan agar dia bebas daripada hukuman.

“Saya kata saya tak boleh (buat begitu) kerana ini soal prinsip. Kalau saya (lupakan prinsip) dan tandatangan, dah lama saya masuk istana angkat sumpah,” katanya pada perhimpunan di Parlimen Tambun, Perak, hari ini (27 Oktober 2022).

Sebelum itu Anwar mengumumkan dia memiliki sokongan yang kukuh daripada ahli parlimen, termasuk di luar PH, untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Menurut Anwar ketika itu, dia mempunyai 114 ahli Parlimen pelbagai parti yang memberikan sokongan kepadanya.

Bagaimanapun ahli parlimen Umno terbabit mengalih semula sokongan mereka daripada Anwar selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju melantik Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin.

 

 

No comments: