Sementara memenangi sebanyak mungkin kerusi Parlimen dan menyingkirkan pengkhianat merupakan teras perjuangan utama yang ingin dicapai PKR dalam PRU15 ini, parti itu nampaknya belum memuktamadkan lagi calonnya untuk bertanding di Gombak dan juga Ampang.
Gombak dan Ampang yang sebelum ini dimenangi oleh Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin atas tiket PKR adalah dua kerusi pengkhianat yang wajib dirampas semula oleh PKR atas nama maruah dan untuk memastikan laluan membentuk kerajaan menjadi kenyataan.
Sepatutnya, sesuai dengan pengumuman Anwar Ibrahim tidak lama sebelum ini bahawa PKR akan meletakkan pemimpin utamanya sebagai calon di kerusi-kerusi pengkhianat, siapa calon parti itu untuk berhadapan dengan Azmin dan Zuraida tidak langsung menjadi masalah, apa lagi lewat dimuktamadkan.
Memuktamadkan lebih awal siapa calon di Gombak dan Ampang adalah pendekatan paling baik untuk menuju ke arah kemenangan berbanding masih tiada ketentuan seperti sekarang.
Lihatlah bagaimana kesan positif tindakan meletakkan Anwar lebih awal sebagai calon di Tambun yang diumumkan sejak seminggu lalu.
Dalam hal ini, seharusnya Menteri Besar Selangor, Amirudin Saari telah pun diumumkan secara muktamad tanpa sebarang keraguan lagi sebagai calon PKR di Gombak untuk berhadapan dengan Azmin.
Kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri adalah paling mantap untuk berhadapan dengan Azmin yang merupakan seorang menteri di peringkat pusat.
Tidak sepatutnya, beliau di peringkat ini masih disebut sebagai “hampir pasti” untuk dinamakan sebagai calon di kerusi tersebut.
Lebih tidak patut bila mana masih ada dua nama sama ada Nurul Izzah Anwar atau Rodziah Ismail dalam pertimbangam PKR untuk diletakkan sebagai calon di Ampang bagi berhadapan dengan Zuraida.
PKR sepatutnya sedar bahawa untuk berhadapan dengan Zuraida, calon pilihan mestilah seorang “heavyweight” yang ada aura serta disukai rakyat seperti Nurul Izzah.
Rekodnya pernah menumbangkan dua menteri di Lembah Pantai, Shahrizat Jalil dan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebelum ini adalah nilai tambah yang lebih memungkinkan seorang lagi menteri seperti Zuraida mampu dikalahkannya.
Meletakkan Rodziah, seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor, malah kalah dalam pertandingan jawatan Ketua Wanita PKR, sebagai calon di Ampang, tidak ubah seperti memberi kemenangan percuma kepada Zuraida.
Rodziah tidak cukup kekuatan serta aura untuk berlawan dengan Zuraida, malah dikhabarkan beliau tidak mendapat dokongan sepenuhnya daripada jentera parti di Ampang sendiri.
Berbanding Nurul Izzah, bukan saja seluruh jentera parti di Ampang sangat berharap kehadirannya dan sedia bekerja keras untuknya, tinjauan rambang dalam pelbagai lapisan rakyat atas pagar juga amat mengalu-alukan kehadirannya.
Gombak dan Ampang adalah dua kerusi kritikal yang mesti dimenangi oleh PKR pada 19 November nanti, bukan saja untuk memastikan kejayaan PH membentuk kerajaan menjadi kenyataan, malah untuk menyingkirkan pengkhianat yang telah mendurjanai parti.
Untuk memungkinkan hasrat itu dapat dicapai, tiada lain calon paling sesuai selain Amirudin dan Nurul Izzah.
Maka, diingatkan kepada Anwar dan PKR – jangan tukar-tukar lagi!!
Kalau tidak, bersedialah menerima kekalahan dan hasrat ke Putrajaya juga mungkin tak kesampaian. – ShahbudinHusin 27/10/2022.