Yang di-Pertuan Agong,
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, boleh menolak nasihat
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk membubarkan Parlimen
dalam masa terdekat.
Pensyarah Undang-Undang dan Polisi di Universiti Teknologi
Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof, menggariskan empat faktor
yang boleh dijadikan asas kepada penolakan Seri Paduka untuk tujuan membubarkan
Parlimen.
Pertama,
katanya, Perdana Menteri ketika ini tidak mewakili sebuah parti atau gabungan
parti secara ‘solid'(kukuh), dengan amalan sebelum ini nasihat Perdana Menteri
sudah dianggap mewakili Kabinet tanpa perlu dipersoalkan.
“Namun
kini, jika Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk pembubaran
Parlimen, ia belum mewakili keseluruhan anggota jemaah menteri yang mewakili
kerajaan.
“Maka
nasihat Perdana Menteri mungkin ditolak atas alasan ia tidak dibuat secara
kolektif sedangkan Perlembagaan memberikan penekanan kepada konsep
‘tanggungjawab bersama’ sepertimana di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan
Persekutuan,” katanya.
Sebab
penolakan kedua pula, katanya sebagaimana keputusan Yang di-Pertuan Agong
menolak nasihat pengisytiharan darurat berteraskan kepentingan awam, maka tidak
mustahil nasihat Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen juga ditolak
berasaskan kepentingan awam.
“Kepentingan
awam boleh merujuk kepada beberapa faktor termasuklah ketidaksesuaian Pilihan
Raya Umum (PRU) dilaksanakan pada musim tengkujuh dan faktor pembaziran jika
PRU di peringkat Parlimen tidak berjalan serentak dengan pilihan raya peringkat
Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri.
“Faktor
ketiga, tindakan Yang di-Pertuan Agong yang mungkin tidak membubarkan Parlimen
serta-merta walau pun selepas dinasihati Perdana Menteri tidak boleh
dipersoalkan di mana-mana mahkamah seperti peruntukan Perkara 32,” katanya.
Mengulas
lanjut, beliau berkata, faktor keempat penolakan pembubaran disebabkan rakyat
terpaksa mengundi sewaktu musim tengkujuh dan PRU sebelum urusan belanjawan
negara tidak disempurnakan dengan baik oleh kerajaan, serta risiko pembaziran
akibat pilihan raya tidak serentak adalah satu langkah tidak popular dan
bertentangan dengan sentimen umum rakyat.
“Sebarang
tindakan Yang di-Pertuan Agong yang selari dengan kehendak rakyat sukar
dipersoalkan walau pun ia kelihatan luar biasa,” katanya.
Maka,
mengambil kira empat faktor itu, beliau menjangkakan tidak mustahil nasihat
pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri akan ditolak, jika ia benar-benar
berlaku.
“Adalah
lebih baik bagi Perdana Menteri untuk mengutamakan keputusan Kabinet berbanding
keputusan partinya.
“Jika
Yang di-Pertuan Agong pernah menolak nasihat Perdana Menteri dan Kabinet untuk
mengisytiharkan darurat pada Oktober 2020, maka tidak mustahil baginda juga
menolak pembubaran Parlimen jika dinasihati oleh Perdana Menteri dalam masa
terdekat ini,” katanya.
Beliau
mendakwa, sungguhpun Kabinet tidak setuju pembubaran dilaksanakan, namun tidak
mustahil Perdana Menteri akan bertindak juga mengikut kehendak partinya yang
mahukan Parlimen dibubarkan segera.
Katanya,
jika mengikut konvensyen Perlembagaan dan kefahaman peruntukan Perlembagaan
secara literal iaitu Perkara 55(2), Yang di-Pertuan Agong perlu membubarkan
Parlimen atas nasihat Perdana Menteri di bawah Perkara 40.
“Berbeza
dengan pembubaran akibat hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) dan
40(2)(b) yang boleh dilakukan atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Dalam
situasi pelbagai parti menguasai kerajaan negeri, katanya, maka langkah yang
paling tepat ialah mewujudkan persefahaman dengan parti berbeza berkaitan waktu
pembubaran Parlimen dan DUN.